Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UTM Skudai, Syamsul Haris Shamsudin digali semula.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet, menetapkan hari ini untuk keputusan selepas mendengar hujahan daripada tiga pihak iaitu Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sebagai responden pertama dan kedua serta ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun selaku pemohon.
Advertisement
Bhupindar Singh berkata, penetapan tarikh itu dilakukan berikutan mahkamah memerlukan masa untuk meneliti afidavit yang baru diserahkan oleh pihak pemohon.
Hadir pada prosiding semalam Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd Salehuddin yang mewakili Ketua Polis Negara; Pengarah Pendakwaan Selangor, Datin Kalmizah Salleh mewakili Peguam Negara dan peguam Datuk Naran Singh mewakili Ummu Haiman Bee.
Ummu Haiman Bee, 45, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah semalam mengharapkan permohonan untuk menggali semula kubur anaknya itu dibenarkan bagi tujuan bedah siasat kali kedua, untuk mengetahui punca sebenar kematian anak lelakinya.
Pada 19 Ogos lalu, Ummu Haiman Bee mengemukakan permohonan itu antaranya bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi di Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu di Selangor.
Sumber: Berita Harian