Sekilas
- Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa berjaya membangunkan semula Sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza yang musnah dibom dengan sokongan rakyat Malaysia.
- Kelas sudah bermula dalam khemah dengan lebih 10 pelajar setiap kelas, walaupun dalam keadaan serba sederhana dan cabaran yang ada.
- Yayasan Nurjiwa juga menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa banjir di Acheh dan terus memperkasakan program kebajikan di Malaysia sepanjang Ramadan.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap komited memastikan pendidikan anak muda di Gaza terjamin melalui Yayasan Nurjiwa yang bersama suami, Datuk Khalid Mohamad Jiwa dengan membangunkan semula Sekolah Afwa Al Aafiyah yang sebelum ini musnah dibom.
Justeru, pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang turut menyumbang bagi merealisasikan pembinaan semula sekolah tersebut.
“Tahun ini adalah tahun yang penuh bermakna buat Yayasan Nurjiwa, dengan berkat doa dan sumbangan ramai, kita sudah berjaya membangunkan semula sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza yang musnah dibom.
“Bagi memastikan pendidikan anak-anak di Palestin tidak terabai, ini adalah usaha yang kami lakukan untuk kebaikan mereka. Pada 2026, kita rasa bersyukur kerana dapat membangunkan kembali sekolah tersebutz
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sumbangan yang diberikan dan insya-Allah selagi kami mampu dan saya bersama pihak yayasan masih lagi kuat, kami akan terus mencari sumbangan untuk terus disalurkan kepada keluarga saya di Gaza. InsyaAllah doakan sama-sama,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi mengenai proses pemulihan yang giat dilakukan, pelantun lagu Wajah Kekasih ini memaklumkan bahawa kelas sudah mula dijalankan dalam khemah dengan setiap kelas mampu menempatkan lebih 10 pelajar.
“Dr Mohanad bangunkan semula sekolah dalam keadaan serba sederhana. Mereka mendirikan khemah yang besar, dan mereka sudah mula kelas untuk pelajar-pelajar. Alhamdulillah, walau saya tahu apa yang mereka bina ini boleh runtuh semula, tapi kita tak boleh berdiam diri dan hidup perlu diteruskan. Itu yang mereka lakukan di sana.
“Setakat ini, kelas sudah dimulakan, dan satu kelas mungkin dihadiri oleh lebih 10 pelajar. Mereka belajar dalam keadaan seadanya,” katanya lagi.
Bukan itu sahaja, Yayasan Nurjiwa turut menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa yang terlibat dengan tragedi banjir di Acheh, Indonesia sekitar tahun lalu.
“Kami juga dapat menyalurkan sumbangan segera kepada mangsa banjir di Acheh baru-baru ini. Pada 2026, usaha kami masih panjang, fokus kami adalah untuk membina sekolah yang kekal di Gaza dan menyalurkan akses air bersih di Acheh.
“Di tanah air sendiri pula, program Nur Muhammad terus diperkasakan bagi menyantuni golongan asnaf terutamanya sepanjang Ramadan ini. Sejak hari pertama Ramadan, sukarelawan kami sudah keluar dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf,” ujarnya.
Sementara itu, Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama strategik Yayasan Prihatin menganjurkan Majlis Iftar Jiwa Prihatin bertempat di Royale Chulan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut 120 orang anak yatim dan pelajar tahfiz serta beberapa penggiag seni menerima sumbangan.