Sekilas
- Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak menggalakkan anak-anaknya, Aafiyah dan Afwa, untuk menceburi dunia seni secara serius.
- Dia membenarkan anak-anaknya belajar muzik dan menyanyi sebagai hobi, dengan Aafiyah belajar piano dan Afwa sering menyanyi dengan melodi sendiri.
- Siti dan suami tidak menghalang minat anak-anak dalam muzik, tetapi belum bersedia untuk mereka serius dalam industri hiburan.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui tidak terlalu menggalakkan anak-anaknya iaitu Aafiyah dan Afwa untuk menceburi dunia seni.
Menurut Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, dia tidak menolak kemungkinan anak-anaknya mempunyai minat terhadap muzik, namun buat masa ini dia lebih selesa jika mereka menjadikan seni sekadar hobi dan minat semata-mata.
"Saya tak berapa galakkan. Tapi tak boleh nafikanlah darah seni itu ada dalam diri dia tapi ayah dia pun lagilah tak galakkan,” katanya sewaktu muncul dalam segmen Carta ERA 40 baru-baru ini.
Bagaimanapun, pelantun lagu Senyawa itu berkata dia dan suami tidak pernah menghalang sekiranya anak-anak menunjukkan minat dalam bidang muzik seperti belajar bermain alat muzik atau menyanyi.
"Cuma kalau ada minat, tak apa. Dia boleh je nak belajar piano sekarang Aafiyah belajar piano, kalau dia nak menyanyi pun nyanyilah.
"Tapi saya tengok Aafiyah ni dia jarang menyanyi. Dia tak seperti adik dia. Adik dia setiap masa menyanyi. Afwa tu dia macam… saya surprise sangat. Sekejap dia boleh nyanyi dengan melodinya sendiri.
“Nak mandi pun dia boleh buat lagu nak mandi,” ujarnya.
Walaupun melihat ada bakat dan kecenderungan terhadap seni dalam diri anak-anak, Siti menegaskan dia belum bersedia untuk membiarkan mereka serius dalam industri hiburan.
“Kalau itu cara yang mereka suka, saya tak halang. Tapi kalau nak serius… tak adalah,” tambahnya.