Sekilas
- Taylor’s University melantik empat tokoh seni persembahan sebagai Profesor Adjung untuk program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian).
- Pelakon Siti Saleha dan aktres Datin Marlia Musa akan membimbing pengkhususan Persembahan, manakala Datuk Dr Haji Mohamad Nasir akan memperkaya pengkhususan Muzik.
- Pengkhususan Tarian pula akan dibimbing oleh penari balet antarabangsa Maria Sascha Khan untuk memberi pengalaman industri yang lebih nyata kepada pelajar.
Taylor’s University mengumumkan pelantikan empat tokoh tersohor dalam industri seni persembahan sebagai Profesor Adjung bagi program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian).
Pelantikan tersebut mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam merapatkan jurang antara pengajian akademik dan amalan profesional, serta memperkasa pelajar melalui bimbingan langsung daripada penggiat terkemuka dalam bidang persembahan, muzik dan tarian.
Bagi pengkhususan Persembahan, pelakon Siti Saleha Mohd Baharum dan aktres, Datin Marlia Musa bakal membawa pengalaman luas serta pandangan mendalam daripada ekosistem seni persembahan negara.
Pengkhususan Muzik pula akan diperkaya dengan penglibatan penulis lagu, komposer dan penerbit iaitu Datuk Dr Haji Mohamad Nasir Mohamed Sam yang telah membentuk industri muzik Malaysia lebih daripada empat dekad.
Selain itu, Pengkhususan Tarian akan dibimbing oleh seorang penari balet bertaraf antarabangsa, bekas Principal Ballerina, dan Pengarah Pembangunan Artistik bagi Ballet Nights di Asia Tenggara iaitu Maria Sascha Khan.
Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian), Taylor’s University, Raziman Sarbini berkata bimbingan tokoh-tokoh ini akan memberikan pelajar pengalaman industri yang lebih nyata sekali gus meningkatkan kemahiran serta keyakinan mereka.