Skip to main content

Viral

Suami Arwah Nadia Kesuma Tampil Betulkan ‘Fakta’ Mengelirukan, Mohon Netizen Henti Sebar Teori Tidak Benar

kamarul_kabilan

Sekilas

  • Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah jelaskan kekeliruan mengenai kehilangan dan pemergian isteri, Nadia Kesuma, bagi meluruskan fakta yang salah di media sosial.
  • Beliau sahkan semua barangan milik arwah, termasuk bagasi dan telefon bimbit, masih berada di Lapangan Terbang Jeddah dan tidak dihantar ke London seperti didakwa.
  • Prof Dr Muhammad Kamarul akan terus membetulkan maklumat salah dan memaafkan pihak yang menyebarkan dakwaan tidak tepat sambil menghargai doa dan sokongan orang ramai.

Suami kepada pelakon Allahyarhamah Nadia Kesuma, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah tampil bersuara bagi menjelaskan beberapa kekeliruan dan dakwaan tidak tepat yang berlegar di media sosial berhubung kehilangan serta pemergian isterinya baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata penjelasan itu dibuat bagi membetulkan 'fakta' dan teori yang disifatkan mengelirukan, selain mengelakkan orang ramai terus menyebarkan perkara tidak benar tanpa sedar.

“After all is done and said, my aim now is to rectify misleading ‘facts’ or theories about arwah’s missing and passing… so that netizens tidak dapat ‘dosa kering’, tanpa menyedari kebenaran,” tulisnya.

Menurut beliau, semua barangan milik arwah kini telah berjaya diperoleh semula, termasuk dua bagasi yang sebelum ini didakwa sudah sampai ke London walaupun arwah masih berada di Jeddah ketika itu.

“Fakta, sehari selepas arwah hilang, pihak travel agency menerima email dari airport Jeddah yang mengatakan kedua luggage (check-in) masih berada di sana dan mereka meminta travel agency mengambil kedua bag tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau, maklumat tersebut telah dimaklumkan kepadanya oleh pihak agensi pelancongan menerusi panggilan telefon, sekali gus menafikan pelbagai spekulasi yang timbul sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kedua-dua telefon bimbit milik arwah telah disimpan oleh pihak polis lapangan terbang Jeddah sebelum dipulangkan semula kepadanya.

“Kedua HP (handphone) disimpan oleh airport polis dan telah dikembalikan kepada saya. Tidak ada message ‘I MET A STRANGER’ dan hal ini telahpun saya jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di laman Facebook saya,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa bagasi kabin dan sling bag arwah tidak pernah dibawa keluar dari Lapangan Terbang Jeddah, apatah lagi dihantar ke London seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Cabin luggage dan sling bag juga dipulangkan oleh pihak airport Jeddah dan tidak sampai ke London mahupun dibawa keluar dari airport Jeddah,” tulisnya lagi.

Dalam kenyataan sama, Muhammad Kamarul Kabilan turut memaklumkan bahawa beliau akan terus membetulkan sebarang maklumat salah atau teori mengelirukan dari semasa ke semasa demi menjaga kebenaran dan melindungi emosi keluarga, termasuk keluarga arwah.

Walaupun berdepan pelbagai spekulasi, beliau memilih untuk bersikap terbuka dan memaafkan mana-mana pihak yang mungkin secara sedar atau tidak telah menyebarkan maklumat tidak tepat.

“Nevertheless, saya MAAFKAN SEMUA yang mungkin secara sedar atau tidak sedar bertutur kata, menulis atau menyebarkan sesuatu yang tidak benar,” katanya.

Beliau mengakhiri hantaran tersebut dengan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terus mendoakan serta menghormati privasi keluarga dalam tempoh sukar ini.

Must-Watch Video

Advertisement