Sekilas
- Sharul Aimy Kamaru Hisam berjaya melangkah ke final acara melombol lelaki di Sukan Asia 2026 selepas menamatkan kelayakan di tempat kelima dengan 13.833 mata.
- Sharul berpeluang menambah koleksi pingat kedua selepas sebelum ini meraih gangsa dalam acara sama di Sukan Asia Hangzhou 2022 walaupun berdepan kecederaan bahu dan lutut.
- Final acara melombol lelaki yang menampilkan lapan gimnas terbaik termasuk juara Olimpik dua kali, Carlos Yulo, akan berlangsung pada Jumaat ini.
Harapan gimnas artistik negara, Sharul Aimy Kamaru Hisam untuk menambah koleksi pingat di Sukan Asia 2026 semakin terbuka selepas dia berjaya melangkah ke final acara melombol lelaki, hari ini.
Sharul menamatkan saingan kelayakan di tempat kelima dengan kutipan 13.833 mata di Gimnasium Am Bandaraya Nagoya.
Dia mengumpul 13.800 mata pada percubaan pertama sebelum meningkatkan catatan kepada 13.866 mata pada percubaan kedua untuk memastikan tempat dalam kelompok lapan terbaik.
Ng Ka Ki dari Hong Kong muncul pendahulu dengan 14.166 mata, diikuti Kim Jae Ho dari Korea Selatan (14.149), Mahdi Olfati dari Iran (14.083) dan Juanco Miguel Besana dari Filipina (13.933).
Kejayaan melangkah ke final itu sekali gus membuka peluang buat Sharul untuk meraih pingat kedua di Sukan Asia selepas sebelum ini membawa pulang gangsa dalam acara sama pada edisi Hangzhou 2022.
Lebih mencabar, Sharul tetap turun beraksi walaupun berdepan kecederaan bahu kiri selain mengalami koyak meniskus pada lutut kiri sebelum temasya berlangsung.
Bagaimanapun, misi untuk menambah koleksi pingat bukan mudah apabila juara Olimpik dua kali, Carlos Yulo dari Filipina turut berada dalam senarai final selepas menduduki tempat ketujuh dengan 13.649 mata.
Final acara melombol lelaki yang menampilkan lapan gimnas terbaik itu dijadual berlangsung pada Jumaat ini.
Sumber: Stadium Astro