Sekilas
- Suri Cruise, anak Tom Cruise dan Katie Holmes, kini secara rasmi menggunakan nama Suri Noelle selepas menggugurkan nama keluarga Cruise.
- Rekod pendaftaran pengundi menunjukkan Suri menggunakan nama tersebut sejak Oktober 2024 ketika mula belajar di Carnegie Mellon University.
- Katie Holmes menafikan dakwaan Suri menerima dana amanah daripada Tom Cruise selepas berusia 18 tahun dan menyifatkan laporan itu sebagai tidak benar.
Anak kepada bintang Hollywood, Tom Cruise dan Katie Holmes, Suri Cruise dilaporkan secara rasmi telah menggugurkan nama keluarga aktor tersebut.
Hal itu terbongkar selepas People memperoleh rekod pendaftaran pengundi, gadis berusia 20 tahun itu kini menggunakan nama Suri Noelle.
Suri yang kini menuntut di Carnegie Mellon University, Pittsburgh, Pennsylvania, mendaftar sebagai pengundi di Allegheny County pada Oktober 2024 ketika berada di tahun pertama pengajiannya. Dalam rekod tersebut, namanya tertera sebagai Suri Noelle.
Menariknya, Noelle juga merupakan nama tengah ibunya, Katie Holmes, lapor Page Six.
Ironi, penggunaan nama baharu itu sudah mula dikesan lebih awal apabila Suri menggunakan nama Suri Noelle semasa majlis graduasi sekolah menengahnya pada Jun 2024. Pada hujung minggu yang sama, Tom Cruise pula dilihat menghadiri konsert The Eras Tour nyanyian Taylor Swift di Stadium Wembley, London.
Tidak lama selepas itu, Holmes berkongsi rasa bangga terhadap pencapaian anak tunggalnya dalam temu bual bersama Town & Country.
"Saya sangat bangga dengan anak perempuan saya. Sudah tentu saya akan merindui kehadirannya di sisi, tetapi saya benar-benar bangga dan gembira untuknya," katanya.
Holmes turut mengimbau zaman mudanya ketika melanjutkan pelajaran.
"Saya masih ingat berada pada usia itu, saat memulakan lembaran baharu dalam hidup. Ia masa yang menyeronokkan untuk mengenali diri sendiri. Saya suka melalui fasa itu, jadi saya gembira melihat dia juga sedang menikmatinya,” sambungnya.
Untuk rekod, Cruise dan Holmes menyambut kelahiran Suri pada April 2006 sebelum berkahwin pada November tahun sama. Bagaimanapun, pasangan itu bercerai pada 2012.
Pada Disember 2024, Holmes turut tampil menepis dakwaan mengenai Suri menerima dana amanah daripada aktor berusia 64 tahun itu sebaik sahaja mencecah usia 18 tahun.
Menerusi Instagram, Holmes menyifatkan laporan tersebut sebagai tidak benar.
"Sama sekali tidak benar. Daily Mail, berhentilah mereka-reka cerita," tulisnya pada tangkap layar laporan berkenaan sebelum menambah kapsyen ringkas, "Cukuplah."