Sekilas
- Filem Malaikat Malam mendapat sambutan hangat dan berjaya menyatupadukan penonton pelbagai kaum di Malaysia.
- Pelakon utama Syafiq Kyle dan barisan pelakon lain membuat kejutan di pawagam, menarik perhatian penonton dengan interaksi mesra.
- Filem ini mengisahkan kehidupan seorang pelumba jalanan, Azam, dan menampilkan transformasi lakonan Syafiq Kyle yang berani dan berbeza.
Filem Malaikat Malam dilihat terus mencipta fenomena dan mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Bukan sahaja dilihat berjaya mengembalikan fenomena filem dunia permotoran malah, filem terbitan Viper Studios dengan kerjasama Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks ini dilihat berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum.
Terbaharu, tular momen memaparkan para pelakon Malaikat Malam yang melakukan kejutan buat penonton yang hadir ke pawagam.
Ketika melakukan kejutan itu, pelakon utama iaitu Syafiq Kyle sempat berinteraksi dengan seorang penonton wanita berbangsa Cina dan bertanyakan sebab dirinya menonton filem tersebut.
“Kenapa awak tengok Malaikat Malam,” tanya Syafiq.
Tanpa berselindung, wanita itu kemudiannya memaklumkan bahawa sebab utama dia menonton filem tersebut adalah kerana Syafiq malah turut memberikan rating sebanyak 5.5 bintang.
“Saya tengok kerana Syafiq. Daripada 5 bintang, saya bagi 5.5 bintang untuk filem ini,” kongsinya.
Jawapan yang diberikan wanita itu kemudiannya membuatkan Syafiq tersipu malu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa terhibur mendengar jawapan yang diberikan wanita itu.
Sekadar info, Malaikat Malam mengisahkan perjalanan hidup seorang ‘mat motor’ bernama Azam yang secara tidak sengaja melanggar seorang gadis buta, Ratna. Ia menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya. Namun, apabila dendam lama, pengkhianatan dan tragedi mula menghimpit, Azam terpaksa berdepan dengan realiti yang tidak dapat dielakkan.
Filem yang mendapat sentuhan pengarah muda, Nazifdin Nasrudin menampilkan pelakon versatil Syafiq Kyle sebagai Azam, seorang pelumba jalanan dengan konflik emosi di sebalik kehidupan berisiko. Menerusi watak Azam, Syafiq Kyle buat pertama kalinya menyahut cabaran membawakan karakter seorang ‘mat rempit’, memperlihatkan transformasi lakonan yang lebih berani dan berbeza daripada penampilan sebelum ini.
Turut menampilkan barisan pelakon mantap, termasuk Tracie Sinidol sebagai gadis buta, yang membawa dimensi tersendiri kepada cerita, serta kemunculan semula Que Haidar ke layar perak yang dinantikan ramai. Pelakon lain yang mencuri tumpuan ialah Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Akmal Asyraf dan Riezman Khuzaimi, yang menjanjikan kombinasi watak yang bertanaga dan meninggalkan kesan.
Tiket filem Malaikat Malam sudah boleh didapatkan di seluruh pawagam berdekatan anda bermula hari ini. Gunakan #MalaikatMalam2026 di semua platform digital dan ikuti perkembangan dan info terkini filem di akaun media sosial Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw, Primeworks Studios.