Sekilas
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dan tunangnya, Bella Astillah, meluangkan hampir dua jam bersama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mendapatkan nasihat tentang perkahwinan dan rumah tangga.
- Syed Saddiq memuji Wan Azizah sebagai 'Malaysia’s Compassionate Iron Lady' atas keteguhan dan kesetiaan beliau dalam menghadapi cabaran keluarga dan politik.
- Mereka hadir bukan untuk urusan rasmi, tetapi membawa kad jemputan perkahwinan dan berterima kasih atas nasihat berharga yang akan dibawa ke alam perkahwinan.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bersama tunangnya iaitu pelakon, Bella Astillah berkongsi momen istimewa apabila berkesempatan bertemu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Saddiq memaklumkan mereka meluangkan masa hampir dua jam bersama Wan Azizah sambil mendapatkan nasihat berkaitan alam perkahwinan dan rumah tangga.
Menurut Saddiq, Wan Azizah merupakan individu yang cukup layak untuk memberikan nasihat mengenai kehidupan berumah tangga berdasarkan pengalaman yang dilaluinya sebagai seorang isteri dan juga ibu.
“Hampir 2 jam saya dan Bella ‘berguru’ bab perkahwinan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah.
“Kalau nak cari orang paling layak beri nasihat tentang rumah tangga, pengorbanan dan kesetiaan, susah nak lawan beliau.
“Beliau memahami selok-belok dunia politik. Beliau tahu besarnya pengorbanan seorang isteri dan seorang ibu.
“Diuji berkali-kali, dalam keadaan yang bukan mudah, tetapi tetap teguh dan setia bersama keluarga,” kongsinya.

Dalam pada itu, Saddiq juga menyifatkan Wan Azizah sebagai ‘Malaysia’s Compassionate Iron Lady’ kerana keteguhan dan kesetiaan beliau berdepan dengan pelbagai cabaran bersama keluarga.
“Sebab itu bagi saya, beliau ialah ‘Malaysia’s Compassionate Iron Lady.’
“Saya sendiri pernah mendapat penghormatan berkhidmat bersama beliau dalam Kabinet. Satu penghormatan dan keistimewaan yang saya akan sentiasa hargai,” coretnya.
Dalam hantaran yang sama juga, Saddiq memaklumkan pertemuan kali ini mempunyai tujuan yang berbeza apabila dia dan Bella hadir bukan untuk urusan Kabinet, sebaliknya membawa kad jemputan perkahwinan mereka.
“Kali ini datang bukan untuk mesyuarat Kabinet… tapi saya dan Bella datang bawa kad kahwin.
“Terima kasih Datuk Seri atas hampir 2 jam nasihat, cerita dan pesanan untuk kami berdua.
“Insya-Allah, nasihat itu kami bawa masuk ke alam perkahwinan,” coretnya.

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi yang rata-rata memuji sikap hormat Syed Saddiq dan Bella menyantuni Wan Azizah, selain berdoa agar pernikahannya bersama Bella dipermudahkan.