Sekilas
- Syed Saddiq dan Bella Astillah berkongsi detik pertama kali bertemu secara tidak sengaja di luar konti radio sebelum hubungan mereka semakin rapat melalui aktiviti bersama seperti bermain badminton dan mendaki Gunung Kinabalu.
- Pasangan ini mengumumkan bakal berkahwin pada 10 Oktober 2026 dengan majlis akad nikah di Precinct Merdeka 118, Kuala Lumpur, diikuti beberapa majlis persandingan di Kuala Lumpur, Muar, dan Sabah.
- Kisah mereka boleh disaksikan dalam program Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq yang mula disiarkan pada 6 Oktober 2026 di Astro Ria, dengan siaran langsung majlis akad nikah turut disediakan di pelbagai platform Astro.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi Bella Astillah mengimbas kembali detik kali pertama mereka bertemu secara bersemuka sebelum hubungan persahabatan bertukar menjadi semakin rapat.
Menerusi program Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq episod pertama yang disiarkan di Astro Ria malam tadi, Syed Saddiq berkata, pertemuan pertama mereka berlaku secara tidak sengaja di luar sebuah konti radio.
“Kali pertama jumpa bersemuka, saya ingat dekat luar konti radio. Masa itu saya tengah buat beberapa wawancara dengan stesen radio.
“Bila saya bergerak daripada stesen radio A ke stesen radio B, nampak Bella sedang duduk,” katanya.
Mengimbau detik sama, Bella berkata, dia ketika itu sedang bermain telefon sebelum terkejut melihat Syed Saddiq menghampirinya.
“Dia datang dulu, saya tengah main telefon. Lepas itu tengok ada orang datang.
“Saya macam, ‘Eh YB’. Terperanjatlah. Lepas itu, itu saja,” ujarnya.
Menariknya, Syed Saddiq masih mengingati secara terperinci penampilan Bella ketika pertemuan pertama mereka termasuk pakaian yang digayakan penyanyi itu.
“Saya masih ingat detik itu, macam mana Bella berjalan, dengan siapa, dekat mana dan bahagian mana di luar stesen radio.
“Masa itu dia pakai baju warna hijau, rambut dia macam mana. Bukanlah sebab saya obses, tapi saya ingat detik itu kerana melihat di mana kita berada hari ini,” katanya.
Menurut Syed Saddiq, mereka ketika itu tidak berbual panjang, namun dia sudah mengetahui kisah kehidupan Bella dan menyifatkan perjalanan wanita tersebut sebagai sesuatu yang memberi inspirasi.
“Saya cuma kata hello dan bye-bye. Sejujurnya saya tak pernah tengok dia sekadar sebagai artis atau penyanyi, tetapi saya memahami cerita di sebalik wanita itu.
“Saya tahu kisah dia sangat memberi inspirasi. Itu tanggapan pertama saya,” katanya.
Selepas pertemuan tersebut, Bella berkata, mereka tidak berjumpa untuk tempoh agak lama sebelum kembali dipertemukan melalui rakan bersama dan mula bermain badminton secara berkumpulan.
Hubungan mereka kemudiannya semakin rapat apabila Syed Saddiq turut membuat kemunculan dalam muzik video Bella berjudul Cukup Sudah selain bekerjasama dalam sesi fotografi bagi koleksi baju raya.
Syed Saddiq berkata, antara pengalaman yang membuatkan dia lebih mengenali Bella adalah ketika mereka mendaki Gunung Kinabalu bersama.
“Saya agak terkejut sebab dia tak ada latihan atau apa-apa. Bila dia dah tetapkan fikiran untuk buat sesuatu, dia boleh buat.
“Itu satu perkara yang saya rasa kami ada persamaan,” katanya.
Bella pula menyifatkan Syed Saddiq sebagai seorang yang berpengetahuan luas sehingga membuatkan dia selesa untuk berkongsi cerita dan menganggapnya seperti sahabat baik.
“YB ini orangnya sangat berpengetahuan. Jadi Bella rasa macam dia boleh jadi best friend.
“Daripada sudut cinta kepada keluarga dan semangat dia, itu memang luar biasa. Dari situlah kita mula kenal dengan lebih erat dan rapat,” katanya.
Sebelum ini, Bella dan Syed Saddiq mengumumkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober depan di acara MeleTOP.
Pasangan itu dijadualkan melangsungkan akad nikah di Precinct Merdeka 118, Kuala Lumpur, menjadi pasangan pertama yang diijabkabulkan di lokasi berkenaan menerusi kolaborasi Astro dan Precinct Merdeka 118.
Bagi majlis akad nikah, Bella dan Syed Saddiq memilih konsep serba putih dengan elemen Arab yang turut mendapat persetujuan keluarga kedua-dua belah pihak.
Selain majlis resepsi di Kuala Lumpur (18 Oktober), pasangan tersebut turut merancang beberapa majlis persandingan dan keraian di Muar, Johor (24 Oktober), dan Sabah (31 Oktober) dengan lokasi tepat akan diumumkan kemudian.
Kisah pasangan romantis ini boleh disaksikan menerusi Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq bermula 6 Oktober 2026, setiap Selasa, jam 11 malam di Astro Ria (Saluran 104).
Program berkenaan turut boleh distrim secara On Demand menerusi Astro GO dan Sooka.
Anda juga boleh menyaksikan majlis akad nikah Bella dan Syed Saddiq disiarkan secara langsung pada 10 Oktober 2026, Sabtu, jam 9 pagi.
Siaran langsung itu boleh ditonton menerusi Astro Ria (Saluran 104), Astro Prima (Saluran 105), Astro Awani (Saluran 501), Sooka dan Astro GO, selain platform media sosial Astro Malaysia serta Astro Gempak.