Sekilas
- Syed Saddiq dan Bella Astillah bertemu Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali tiga hari sebelum pemergiannya, di mana beliau masih ceria dan berkongsi rasa tidak sabar untuk hadir majlis pernikahan mereka.
- Allahyarhamah memberi nasihat penting tentang kehidupan berumah tangga, menekankan kompromi, toleransi, dan cara mengatasi ujian seperti perasaan cemburu.
- Bella menerima pesanan agar menjadi wanita kuat, sentiasa menyokong suami, dan mengekalkan kelembutan dalam rumah tangga, terutama sebagai isteri ahli politik.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan bakal isterinya, Bella Astillah tidak menyangka pertemuan mereka dengan Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah Mohd Ali, tiga hari sebelum pemergian tokoh berkenaan, menjadi yang terakhir.
Menurut Syed Saddiq, Allahyarhamah ketika itu dilihat masih ceria dan gembira, selain sempat berkongsi rasa tidak sabar untuk menghadiri majlis pernikahan Syed Saddiq dan Bella.
"Kalau tidak silap, kami bertemu tiga hari sebelum Allahyarhamah meninggalkan kita semua. Ketika pertemuan itu, Allahyarhamah berada dalam keadaan sangat ceria.
"Beliau juga berkongsi rasa tidak sabar untuk menghadiri majlis pernikahan kami," katanya ketika ditemui pada sidang media Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq di Kuala Lumpur Golf & Country Club, petang Jumaat.
Allahyarhamah turut menitipkan beberapa nasihat berkaitan kehidupan berumah tangga, khususnya mengenai kepentingan kompromi dan toleransi dalam sesebuah hubungan.
"Banyak nasihat yang disampaikan, khususnya mengenai pentingnya kompromi dalam rumah tangga. Perkahwinan bukan sekadar soal cinta semata-mata, tetapi mengenai toleransi dan bagaimana kita bijak berkompromi, melalui ujian serta menangani isu seperti perasaan cemburu dalam hubungan.
"Allahyarhamah masih mampu bergurau dan mengingati pelbagai perkara yang berlaku 50 atau 60 tahun lalu, termasuk kisah cintanya bersama Tun Dr Mahathir," ujarnya.
Sementara itu, Bella juga berkongsi pesanan yang dititipkan Allahyarhamah kepadanya sebelum bergelar isteri adalah supaya menjadi wanita yang kuat, sentiasa berada di sisi suami serta kekal lembut dalam menjalani kehidupan berumah tangga.
"Ada yang boleh saya kongsikan dan ada yang saya memilih untuk simpan kerana menghormati Allahyarhamah. Beliau memberitahu bahawa perjalanan sebagai isteri kepada seorang ahli politik bukan sesuatu yang mudah.
"Namun, selagi ada kepercayaan dalam hubungan, insya-Allah rumah tangga akan berkekalan. Toleransi dan rasa hormat terhadap pasangan juga sangat penting," katanya.