Sekilas
- Syida Melvin memilih untuk menyimpan enam koleksi baju pengantin sebagai kenangan selepas bercerai dengan bekas suami.
- Dia berharap busana tersebut boleh digunakan oleh anak-anaknya pada masa akan datang dan tidak berhasrat untuk menjualnya.
- Syida dan Mohamad Syafiq Azim Shaheen disahkan bercerai talak satu selepas tujuh tahun berkahwin dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Selepas sah bercerai dengan bekas suami, pelakon dan usahawan, Syida Melvin memilih untuk menyimpan enam koleksi baju pengantin yang dimilikinya sebagai kenangan sepanjang tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Menurut Syida atau nama sebenarnya Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin, dia juga berharap agar kesemua busana itu dapat pula digunakan oleh anak-anaknya pada masa akan datang.
“Baju itu tak bersalah. Saya akan simpan. Kalau anak-anak saya boleh pakai nanti, kita simpan buat kenanganlah.
“Tak throwback, insya-Allah. Kalau tak nak tengok, simpanlah. Simpan rapi dalam kotak,” katanya kepada Gempak.
Syida berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas usai prosiding perceraiannya dengan bekas suami, Mohamad Syafiq Azim Shaheen di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Rabu.
Ditanya sama ada dia mempunyai perancangan untuk menjual keenam-enam busana tersebut di masa akan datang, adik kepada pelakon Syatilla Melvin ini menegaskan perkara itu tidak pernah terlintas di fikirannya.
“Eh, tak. Bagi saya itu kenangan. Anak-anak pun boleh tengok nanti,” ujarnya lagi.
Terdahulu, kemelut rumah tangga Syida dan Syafiq berakhir apabila mereka disahkan bercerai talak satu pada jam 9.25 pagi rabu.
Sebelumnya, kemelut rumah tangga Syida bersama suaminya, Mohamad Syafiq Azim Shaheen mula mendapat perhatian selepas dia dilaporkan memfailkan permohonan cerai pada Disember tahun lalu.
Permohonan berkenaan difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor dan perkara itu turut disahkan oleh peguam yang mewakili Syida, Nurul Jamaliah.
Untuk rekod, Syida atau nama sebenarnya, Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin mendirikan rumah tangga bersama Syafiq pada 19 Januari 2019.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa.
Sekadar info, Syafiq Azim merupakan anak kepada tokoh perniagaan yang dikenali sebagai Iron Lady Malaysia, Allahyarham Datuk Dr Maznah Hamid.