Sekilas
- Syifa Melvin berkongsi tentang ragam anak sulungnya, Saif Sulaiman, yang masih belum dapat menerima kehadiran adik baru selepas kelahiran anak kedua mereka.
- Saif menunjukkan sikap menjauhkan diri daripada ibunya dan adik baru, walaupun memahami keadaan ibunya yang baru menjalani pembedahan bersalin.
- Netizen menganggap perubahan sikap Saif adalah fasa normal dan memberi sokongan serta nasihat agar Syifa tidak terlalu risau mengenai situasi tersebut.
Pelakon, Syifa Melvin berkongsi mengenai ragam anak sulungnya iaitu Saif Sulaiman selepas dirinya selamat bersalin anak kedua pada Isnin.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Syifa memaklumkan anak lelaki yang kini berusia tiga tahun itu masih tidak dapat menerima kehadiran orang baru dalam keluarga mereka buat masa ini.
Menurut Syifa, Saif menunjukkan perubahan sikap walaupun dia memahami situasi ibunya yang baru sahaja menjalani pembedahan bersalin.
“Penerimaan Saif masih ego, dia faham ibu pegi potong perut, tapi dalam ward ada keluarga Syifa.
“Dia macam tak mahu tengok lagi adik dia, tak datang dekat Syifa pun, sedih ibu tapi selalunya biasa sahaja kan benda tu.
“Abang tetap cinta hati pertama ibu, my manja boy,” kongsinya.

Bagaimanapun, menerusi bebenang (Threads) yang sama, rata-rata netizen berpendapat perubahan sikap tersebut merupakan fasa normal bagi kanak-kanak yang sebelum ini menjadi satu-satunya tumpuan kasih sayang ibu bapa.
Malah, netizen turut menasihati Syifa agar tidak terlalu bimbang, selain berkongsi pengalaman masing-masing sebagai kata-kata sokongan dan penguat semangat buat aktres itu.
Pada Ogos tahun lalu, Syifa atau Nur Syifa Atirah Amirul Melvin, 32, memaklumkan dia sedang hamil anak kedua.
Pasangan itu kemudiannya mengadakan majlis gender reveal pada September 2025 dan memaklumkan bakal menimang cahaya mata perempuan.
Untuk rekod, Syifa dan Safawi mendirikan rumah tangga pada 28 November 2022.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Saif Sulaiman yang kini berusia tiga tahun.