Skip to main content

Hiburan

Syukur Dapat Jaga Hingga Hembusan Terakhir, Didie Alias Kongsi Momen Bersama Andre Mikhail

Astro Gempak 175

Sekilas

  • Didie Alias berkongsi detik terakhir bersama Allahyarham Andre Mikhail yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru di Hospital Kuala Lumpur pada Isnin malam.
  • Amyza Aznan tidak sempat berada di sisi Andre ketika arwah menghembuskan nafas terakhir kerana pulang mandi selepas beberapa hari tidak berbuat demikian.
  • Jenazah Andre dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang, dengan sokongan moral daripada rakan-rakan dan keluarga yang hadir memberi kekuatan kepada Amyza sekeluarga.

Pelakon dan pengacara, Didie Alias berkongsi momen terakhir ketika dirinya berada di samping anak pelakon, Amyza Aznan iaitu Allahyarham Andre Mikhail yang menghembuskan nafas terakhir pada Isnin.

Menurut Didie, adalah sangat pilu apabila sahabat baiknya iaitu Amyza tidak sempat berada di sisi arwah Andre.

Ujarnya, Amyza tidak sempat berada di sisi Andre kerana pulang sebentar ke rumah untuk mandi dan membersihkan diri selepas beberapa hari tidak dapat berbuat demikian.

“Petang semalam, selepas berbuka puasa, Amyza beritahu mahu pulang mandi. Hati saya berat untuk membenarkan, seolah-olah anaknya mungkin memerlukannya ketika itu.

“Namun dia kata sudah terlalu penat. Sebelum pulang, dia pesan untuk tolong tengok anaknya dan bacaan oksigen dia. Jadi, saya suruh pergi mandi dulu, saya akan uruskan. Ketika dia tiada, saya minta suaminya naik melihat keadaan anak.

“Tidak lama kemudian, saya sendiri naik kerana hati tidak sedap. Sampai di atas, memang arwah sudah nazak. Betul-betul di depan mata, saya menyaksikan dia pergi.

“Saya sempat berkata kepada Amyza kemudian, mungkin dia tidak mahu melepaskan nyawanya di depan ibunya kerana terlalu sayang, tidak mahu ibunya lebih terluka. Biarlah saya saja yang menanggung sakit untuk dia,” katanya kepada Gempak.

Didie berkongsi perkara tersebut usai majlis pengebumian Andre di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang pada Selasa.

Tambah Didie, dia walau bagaimanapun tidak sampai hati untuk memaklumkan perkara sebenar kepada Amyza selepas membuat pengesahan mengenai pemergian Andre bersama doktor.

“Selepas itu, saya mengesahkan keadaan dengan doktor. Doktor cuba melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR). Pihak HKL memberi kerjasama yang baik dan doktor mengesahkan arwah meninggal dunia pada jam 10.15 malam.

“Saya menunggu kepulangan Amyza. Saya hubunginya dan dia bertanya sama ada oksigen anaknya sudah menurun. Saya tidak sampai hati memberitahu. Kali kedua dia masih bertanya.

“Saya hanya berkata, anaknya menunggu dia. Apabila dia sampai di hadapan lif, tubuhnya sudah longlai dan tidak mampu berkata apa-apa,” kongsi Didie.

Akhir bicara, Didie meluahkan rasa syukur kerana ramai sahabat dan rakan industri tampil memberi sokongan moral kepada Amyza sekeluarga.

“Syukur Alhamdulillah, ramai sahabat hadir memberi sokongan. Ramai rakan lama dan kenalan industri datang menguatkan semangatnya. Mami berpuas hati dapat bersama arwah sehingga saat akhir, seperti janji saya untuk menjaganya sehingga menutup mata.

“Alhamdulillah, saya dapat menunaikan janji itu dan berada di sisinya hingga ke penghujung,” katanya.

Sekadar info, Andre menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.15 malam Isnin di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser paru-paru.

Jenazah Allahyarham kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang pada jam 10.40 pagi Selasa.

Februari tahun lalu, Amyza berkongsi khabar duka apabila Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga. 

Selang setahun, anak keduanya, Adrian Adam, 18, pula disahkan kanser tulang dan perkhabaran duka itu dikongsi aktres itu di platform media sosialnya sehingga mengejutkan ramai.

Must-Watch Video

Advertisement