Sekilas
- Kodi Rasheed berkongsi pengalaman bekerja dengan seorang pempengaruh yang tidak membuat persiapan dan tidak membaca skrip sebelum penggambaran.
- Pempengaruh tersebut memberi alasan sibuk dengan siaran langsung media sosial sehingga tidak sempat baca skrip, menyukarkan pelakon dan kru produksi lain.
- Kodi menasihatkan mereka yang berminat dalam lakonan supaya hormat penulis skrip dan sentiasa bersedia di set penggambaran untuk hasil kerja yang lebih baik.
Pelakon, Kodi Rasheed berkongsi pengalamannya di set penggambaran bersama seorang pempengaduh media sosial yang tidak didedahkan nama.
Dakwa Kodi, pempengaruh tersebut seakan tidak membuat persiapan yang mencukupi serta tidak meneliti skrip yang diberikan dengan baik sebelum memulakan sesi penggambaran.
“Saya ada satu pengalaman bekerja dengan seorang pempengaruh. Waktu itu kami nak rehearsal, selepas itu dia boleh tanya dia ada dialog ke?
“Dia boleh tanya macam itu? Dia tak baca skrip yang diberi ke? Tapi saya sabar dan positif saja sebab mungkin dia tak perasan ada babak yang perlu dia lontarkan skrip.
“Tetapi bila shoot beberapa scene, benda yang sama tetap berulang. Jadi saya pun tanya, ‘Tak baca skrip ke?’. Dia bagi alasan yang dia sibuk buat siaran langsung di media sosial jadi tak ada masa nak baca skrip,” katanya.
Kodi berkongsi perkara tersebut ketika menjadi tetamu sesi podcast Sembang Ohh Yeahh yang dikendalikan pempengaruh, Iskandar Rahman.
Berkongsi lanjut, pelakon filem Sheriff ini memaklumkan situasi tersebut walau bagaimanapun terkawal namun tidak terbayang olehnya jika pempengaruh itu memberikan alasan sedemikian kepada pelakon yang lebih berpengalaman daripadanya.
“Kalau dia bagi jawapan macam itu dekat pelakon veteran, memang siaplah. Sebab dia menyusahkan pelakon lain dan juga kru produksi yang dah buat pelbagai persiapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kodi menitipkan pesan kepada mana-mana individu yang minat dalam bidang lakonan untuk sentiasa menghormati hasil kerja penulis skrip serta sentiasa bersedia di lokasi penggambaran.
“Kau nak berlakon tapi tak hormat pun penulis skrip bahkan kau tak nak baca pun skrip yang ditulis. Macam mana datang set dalam keadaan tak tahu nak buat apa tapi harga yang dibayar pada mereka tinggi.
“Sebagai pelakon, kira faham saja kenapa penerbit offer mereka berlakon. Mungkin sebab populariti dan bilangan pengikut dia di Instagram cuma bila dah dibayar untuk berlakon, kena buat kerja dengan baguslah,” kongsinya lagi.
Dalam perkembangan lain, Kodi bakal tampil dengan filem terbaharu yang berjudul Malaikat Malam.
Selain Kodi, filem yang mendapat sentuhan pengarah muda, Nazifdin Nasrudin itu turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Syafiq Kyle, Tracie Sinidol dan ramai lagi.
Sumber: TikTok