Sekilas
- Inara Rusli yang sebelum ini menuntut cerai dan membuat laporan polis terhadap suaminya, Insanul Fahmi, kini mahu meneruskan perkahwinan mereka selepas mendapatkan nasihat agama dari Buya Yahya.
- Inara menyatakan dia akan cuba menjadi isteri yang patuh walaupun perkahwinan mereka belum didaftarkan secara rasmi, kerana ia sudah sah dari segi agama.
- Kisah mereka menjadi tular selepas isteri pertama Insanul, Wardatina Mawa, mendedahkan hubungan terlarang dan rakaman CCTV yang memalukan di rumah Inara.
Kemelut rumah tangga Inara Rusli dengan seorang usahawan, Insanul Fahmi masuk ke babak baharu.
Sebelum ini Inara mendakwa ditipu dan diperdaya sehingga berkahwin secara rahsia dengan Insanul. Insanul mendakwa telah bercerai, namun sebenarnya dia masih bergelar suami orang dan Inara menjadi isteri keduanya.
Tidak terima dipoligami, Inara menuntut cerai dan melaporkan Insanul dengan dua pertuduhan termasuk menipu kepada pihak berkuasa.
Namun kini wanita itu mahu menarik semula hasratnya sekaligus meneruskan perkahwinan mereka. Keputusan tersebut diambil selepas dia mendapatkan nasihat daripada penceramah agama, Buya Yahya.
“Insan telah menunjukkan iktikad yang baik dan akan menjelaskan semua kesalah fahaman kepada keluarga saya. Buya Hamka juga telah memberi nasihat. Saya sebagai muslimah mencuba untuk taat,” katanya seperti dilaporkan Kompas.
Menurutnya lagi, dia cuba untuk tidak mengulas lanjut tentang kontroversi yang melanda kerana ia masalah peribadi. Namun kata Inara kini dia cuba menjadi isteri yang patuh kepada suami.
“Buya Yahya menyampaikan kalau sudah sah, sudah halal, sudah tidak perlu lagi memikirkan pendapat publik kerana yang menjalankan rumah tangga ini adalah kami.
“Jadi sebagai isteri, walaupun belum tercatat secara negara (mendaftarkan pernikahan) tapi sudah berlaku hukum agama, sudah berlaku syariat Islam, ya saya harus tetap mendengarkan dan patuh terhadap suami saya. Kerana biar bagaimanapun saudara Insan sudah menjadi suami saya,” ujar Inara lagi.
Terdahulu, kisah hubungan Inara dengan Insanul menjadi kontroversi selepas isteri pertama, Wardatina Mawa mendedahkannya kepada umum mereka menjalin hubungan terlarang.
Warda juga mendakwa mempunyai rakaman CCTV keduanya dalam keadaan tidak elok di rumah Inara.
Insanul kemudian tampil memberitahu sudah menikah dengan Inara pada Ogos lalu dan mahu kehidupan rumah tangga poligami yang didirikan kekal.