Penyanyi, Ina Naim tidak berkecil hati dengan isu peti ais yang kembali tular di media sosial baru-baru ini.
Bagaimanapun kata Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim, 41, dia tidak faham mengapa isu tersebut yang seringkali diperkatakan netizen.
Advertisement
“Sampai dah mati laki aku. Orang asyik tanya lagi isu peti ais. Sekarang rumah saya penuh, peti ais ada, mesin basuh ada, sofa ada.
“Apa kelengkapan yang kurang sebelum ini semua ada, sebab bapa yang baru ni dia sediakan semuanya.
“Saya ambil sebagai satu benda yang positif dan saya nak ucapkan terima kasih. Untuk yang dulu tu, kita tolak untuk ada kelengkapan itu pun bersebab.
“Untuk kali ini kita terima pun ada sebabnya. Dulu rumah kamu dekat dari kedai, jadi sekarang rumah dah jauh, terpaksa beli peti ais,” jelasnya.
Ina berkata demikian ketika ditemui pada konsert separuh akhir program Talk To My Manager baru-baru ini.
Mengulas mengenai perkara itu, Ina berkata, sewaktu bersama arwah Suhaimi Saad, mereka sekeluarga menetap di Kelantan.
Kata Ina lagi, barang makanan di sana murah dan semuanya segar.
“Kalau dulu kami duduk di Kelantan jadi kedai kedai banyak tepi jalan dan sangat murah. Sayur satu ikat baru 50 sen, sekarang mana ada.
“Apa lagi kita nak cari, semuanya senang, segar dan murah di Kelantan. Jadi tidak pernah terputuslah makanan walaupun tiada peti ais.
“Anak-anak saya semua okay sampai sudah besar panjang, sihat,” ujarnya.
Terdahulu, Ina dan Suhaimi berkahwin pada tahun 2007. Namun pada 15 November 2023, Suhaimi meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat orang cahaya mata termasuk Hadie yang kini merupakan peserta Talk To My Manager.
Setahun selepas kematian suami, Ina kembali mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan seorang jurutera, Mohd. Khairul Rizal.