Sekilas
- Drama Pak Su Ammara yang mengangkat isu women empowerment dan hak isteri dalam perkahwinan akan menayangkan episod akhir malam ini.
- Watak Wafiy lakonan Syazwan Zulkifly menjadi kontroversi kerana memanipulasi hukum agama untuk menindas isteri, mendapat kecaman netizen.
- Gandingan Que Haidar dan Ummi Nazeera mendapat pujian atas lakonan mereka yang menyentuh emosi penonton sepanjang drama ini.
Selepas empat minggu mencetuskan perbualan hangat di media sosial, drama Pak Su Ammara akhirnya melabuhkan tirainya menerusi tayangan episod akhir yang bakal bersiaran malam ini.
Sepanjang tempoh siarannya, drama ini mencuri perhatian ramai apabila berani mengetengahkan isu ‘women empowerment’ serta perjuangan hak isteri dalam institusi perkahwinan.
Pendekatan tersebut menjadikan Pak Su Ammara antara naskhah tempatan yang hangat diperkatakan dan sering mencetuskan perdebatan dalam kalangan penonton.
Malah watak Wafiy, lakonan Syazwan Zulkifly, juga menjadi antara elemen paling kontroversi dalam drama ini.
Karakter suami yang gemar memanipulasi hukum agama demi mengawal dan menindas isterinya menerima kecaman hebat daripada netizen.
Ruangan komen di media sosial rasmi drama ini dipenuhi luahan kemarahan penonton, malah tidak kurang yang mengharapkan watak tersebut menerima pembalasan setimpal sebagai pengajaran.
Dalam masa yang sama, gandingan Que Haidar dan Ummi Nazeera turut menjadi antara kekuatan utama Pak Su Ammara.
Keserasian mereka di layar kaca, disokong lakonan bersahaja dalam babak-babak emosional dan romantik, berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada penonton sekali gus menerima pujian meluas.
Segala persoalan bakal terjawab dalam episod akhir malam ini.
Mampukah keadilan ditegakkan, atau penonton akan disajikan dengan penamat di luar jangkaan?
Saksikan episod akhir Pak Su Ammara, malam ini jam 10 malam di Astro Ria atau strim menerusi aplikasi Sooka.