Sekilas
- Elyana berkongsi momen dia membotakkan kepala dengan bantuan dua anak perempuannya, Cinta Sumayyah dan Cahaya Ramadhani, untuk bersama-sama merasai pengalaman tersebut.
- Dia mahu anak-anaknya melihat dia kuat walaupun sedang melawan penyakit kanser limfoma dan menjadikan aktiviti itu sebagai masa bonding yang menyeronokkan.
- Elyana berharap anak-anaknya dapat melihat sisi positif dirinya dan faham bahawa botak atau sakit bukan bermakna kehidupan sudah berakhir.
Perkongsian video memperlihatkan momen penyanyi Elyana membotakkan kepalanya dibantu dua orang anaknya mengundang rasa sebak dalam kalangan wargamaya.
Menurut Elyana, dia mahu anak-anaknya iaitu Cinta Sumayyah dan Cahaya Ramadhani, bersama-sama merasai momen tersebut.
“Saya ini seorang yang macam benda yang saya takut itulah yang saya kena fokus dulu. Saya takut perasaan anak-anak saya malu, tergores… sebab saya tahu hati mereka lembut.
“Bila mereka tengok saya dalam keadaan sakit pun buat mereka rasa serba salah nak bercerita, berkongsi apa-apa masalah sekolah.
“Jadi, bila saya ambil keputusan untuk botakkan kepala, kena bawa anak-anak sekali untuk bersama-sama untuk dalam momen ini,” katanya kepada Gempak.
Tambah Elyana lagi, dia mahu dua anak perempuannya itu melihatnya kuat biarpun sedang bertarung dengan penyakit kanser limfoma.
“Jadi nak tak nak, mereka kuat juga. Bila anak yang cukurkan rambut, kita rasa macam bonding time, benda itu jadi fun bukan menyedihkan.
“Saya pun tahan air mata jangan mengalir, sebab nak anak-anak tengok saya dalam sisi yang positif. Tak semestinya botak, kita tak cantik
“Tak semestinya kita sakit, kehidupan kita dah habis. Biar mereka tengok mak awak ini walaupun berbelah tahun sakit, masih boleh meneruskan kehidupan,” ujarnya.