Skip to main content

Berita Tempatan

"Tak Tolak Kalau Ada Rezeki" - Scha, Awal Teringin Tambah Anak, Pertimbang Pelbagai Faktor

awal-Scha

Sekilas

  • Awal Ashaari dan Scha Alyahya sedang mempertimbangkan untuk menambah ahli keluarga dengan mengambil kira faktor usia, kewangan, dan kesediaan anak-anak sedia ada.
  • Mereka sering berbincang tentang persediaan fizikal dan rutin harian, terutama Scha yang perlu menyesuaikan gaya hidupnya jika mahu hamil lagi.
  • Pasangan ini sudah mempunyai dua anak perempuan dan terbuka jika dikurniakan rezeki untuk menambah anak, namun keputusan dibuat secara matang dan berhati-hati.

Pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari tidak menafikan wujud keinginan untuk menambah bilangan ahli keluarga, namun mengakui keputusan itu perlu dipertimbangkan secara matang.

Menurut Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Haji Ashaari, 44, faktor usia, kewangan serta kesediaan anak-anak menjadi perkara utama yang perlu diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan.

“Memang ada keinginan (anak). Kita sebagai manusia, macam Scha (isteri) cakap faktor umur, kewangan dan kesesuaian kena tengok sebab kami pernah ada anak yang jaraknya jauh.

“Bukan kita saja yang bersedia, anak-anak kita pun kena bersedia untuk tiba-tiba menyambut kedatangan seorang lagi adik baharu. Saya pun bukan muda lagi.

“Tidak menolak, kalau ada alhamdulillah. Kadang nak kata faktor umur, ada orang berumur dikurniakan rezeki (anak). Kalau tanya saya, satu lagi pun seronok juga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi beg terbaharunya, The Nexx, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Awal turut mendedahkan perkara berkenaan sering dibincangkan bersama isterinya, Scha Alyahya, terutamanya berkaitan persediaan fizikal sebagai seorang wanita.

“Ada bincang, hujung tahun hari itu pun Scha tanya kita macam mana betul ke nak sebab sebagai wanita dia kena bersedia dengan vitamin, tak boleh terlalu lasak, dia kan pergi gimnasium dan buat senaman intensif.

“Kalau nak (anak), kena cakap betul-betul sebab dia nak rancang rutin dia. Apa pun bergantung kepada rezeki,” jelasnya.

Mengulas lanjut, pelakon filem Impak Maksima itu berkata dia secara peribadi lebih gemar melayan bayi berbanding Scha yang lebih selesa dengan anak-anak yang sudah besar.

“Saya suka budak-budak, berbeza dengan Scha. Dia suka anak yang dah besar, boleh susun atur mereka.

“Tapi saya suka bayi, boleh gomol, main, geletek atau tiup-tiup perut dia. Sekarang bila tak ada benda nak buat, saya macam apa nak buat,” katanya berseloroh.

Sementara itu, Scha Alyahya atau nama penuhnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, turut mengakui mempunyai keinginan yang sama, namun faktor usia menjadi pertimbangan utama sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya dah banyak kali bercakap dengan Awal isu ini di mana saya pun kadang-kadang teringin (tambah anak).

“Tapi saya dah menjangkau usia 40-an, saya rasa kalau ada rezeki saya tak menolak tapi saya tidak mencubalah sangat.

“Kalau ada, ada. Saya reda saja kalau tak ada, tidak mahulah kata tutup kilang, cuma tengok umur macam boleh lagi ke?” tuturnya.

Untuk rekod, Awal dan Scha mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 di Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Lara Alana, 12, dan Lyla Amina.

Must-Watch Video

Advertisement