Sekilas
- Noraniza Idris menasihatkan penyanyi supaya berhati-hati ketika melakukan improvisasi vokal terutama pada lagu beridentiti etnik tertentu.
- Lenggok nyanyian tradisional perlu selari dengan bahasa muzik dan karakter bunyi instrumen etnik bagi mengekalkan jiwa sebenar lagu tersebut.
- Improvisasi vokal harus mengambil kira gerak melodi dan karakter alat muzik tradisional supaya lenggok nyanyian benar-benar mencerminkan identiti muzik etnik berkenaan.
Penyanyi, Noraniza Idris mengingatkan penyanyi supaya lebih berhati-hati ketika melakukan improvisasi dan lenggok vokal khususnya apabila membawakan lagu yang mempunyai identiti etnik tertentu.
Menurut Noraniza, lenggok dalam nyanyian tradisional bukan sekadar hiasan vokal, sebaliknya perlu mempunyai kaitan rapat dengan bahasa muzik dan karakter bunyi sesuatu kaum.
“Kenapa skil improvisasi lenggok nyanyian itu jadi Minang? Lenggok nyanyian kita dalam etnik kena dekat dengan instrumen etnik kaum itu, baru dekat dengan jiwa sebenar.
“Berhati-hati bila improvise lagu etnik. Takut salah masuk rumah, nanti jadi ‘perang saudara’,” katanya.
Noraniza atau lebih mesra disapa sebagai Kak Ani turut menjelaskan bahawa apabila seseorang menyanyikan lagu daripada mana-mana etnik, improvisasi vokal perlu mengambil kira gerak melodi serta karakter bunyi instrumen tradisional yang menjadi identiti muzik etnik berkenaan.
Menurutnya, dalam nyanyian tradisional, lenggok dan improvisasi vokal bukanlah elemen yang berdiri sendiri sebaliknya berkait rapat dengan bahasa muzik sesuatu etnik.
“Dalam nyanyian tradisional, lenggok dan improvisasi vokal bukan berdiri sendiri, tetapi berkait rapat dengan bahasa muzik sesuatu kaum. Apabila menyanyikan lagu beridentitikan Minangkabau, lenggok dan improvisasi vokalnya banyak mengambil rasa daripada skala serta gerak melodi caklempong.
“Sebab itu cara menyanyi Minang mempunyai lekuk dan jatuh nadanya yang tersendiri. Begitu juga apabila menyanyikan lagu Iban. Improvisasi vokalnya perlu mendekati gerak melodi dan karakter bunyi kulintangan/engkerumong, supaya lenggok yang terhasil benar-benar membawa rasa muzik Iban.
“Maksudnya, kita bukan sekadar menyanyikan melodi kita menyerap bahasa alat muzik tradisi itu ke dalam suara,” ujarnya.