Sekilas
- Cik B dedahkan ibunya, Datuk Seri Vida, janji hadiah RM150,000 dan percutian ke Barcelona jika menang Talk To My Manager 2.
- Walaupun hanya dapat tempat ketiga, Cik B terima sokongan penuh dari ibunya yang juga hadiahkan Lamborghini Urus sempena hari lahirnya.
- Cik B dan Datuk Seri Vida berjaya raih tempat ketiga dengan persembahan lagu Bohemian Rhapsody dan Haa Tepok di pentas akhir TTMM2.
Bintang Talk To My Manager 2 (TTMM2), Cik B mendedahkan ibunya, Datuk Seri Vida pernah menjanjikan ganjaran istimewa sekiranya berjaya muncul sebagai juara program realiti tersebut.
Menurut Cik B, hadiah yang dijanjikan bukan calang-calang apabila membabitkan wang tunai sebanyak RM150,000 selain percutian ke Barcelona.
“Mama saya kata, dia akan hadiahkan ganjaran wang tunai berjumlah RM150,000 dan percutian ke Barcelona kalau saya jadi juara. Selain itu, kalau saya juara, kaki tangan di pejabat saya akan diberikan cuti.
“Tetapi rezeki saya dapat tempat ketiga. Namun, nasib baik, selamat juga poket mama,” katanya berseloroh kepada Gempak.
Bagaimanapun, Cik B mengakui ibunya tidak menjanjikan sebarang ganjaran lain memandangkan tawaran tersebut hanya khusus sekiranya dia berjaya meraih gelaran juara.
“Mama tak janji apa-apa yang lain kerana mama hanya cakap tentang juara sahaja. Jadi, saya jalani hidup seperti biasa.
“Tapi saya boleh sahaja minta mama, contohnya, ‘Cik B dapat nombor tiga, boleh tak Cik B dapat RM30,000?’ Boleh sahaja.
“Sebab mama ini memang sangat supportive. Apa sahaja yang saya minta, mama tidak pernah cakap tidak,” ujarnya.
Dalam masa sama, Cik B turut berkongsi pengalaman menerima hadiah mewah daripada ibunya iaitu sebuah Lamborghini Urus sempena sambutan hari lahirnya.
Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka permintaan yang dibuat secara bersahaja itu akan ditunaikan oleh Datuk Seri Vida.
“Tahu tak kereta Lamborghini Urus itu? Sebelum ini Cik B tak pernah minta apa-apa. Mama yang tanya, ‘Cik B nak apa untuk hadiah hari jadi?’
“Masa itu saya pun dah tak tahu nak minta apa sebab semuanya mama sudah berikan. Jadi, saya saja cakap Lamborghini Urus. Tiba-tiba, dapat.
“Mama ini memang seorang yang penuh dengan kejutan. Sebab itu kadang-kadang saya tak beritahu apa yang saya mahu kerana takut mama terus belikan. Sekarang ini pun rasa macam dah membazir pula,” katanya.
Terdahulu, Cik B dan Datuk Seri Vida berjaya menamatkan saingan TTMM2 di tempat ketiga selepas menampilkan persembahan bertenaga menerusi lagu Bohemian Rhapsody dan Haa Tepok pada pentas akhir program berkenaan.