Kejutan buat peminat rancangan realiti Talk To My Manager (TTMM) apabila pihak produksi mengumumkan akan menambah satu lagi minggu sebagai grand finale selepas menerima sambutan luar biasa daripada penonton.
Pengumuman itu dibuat oleh pengacara, Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil) di penghujung konsert minggu akhir malam ini, sekali gus mengesahkan keenam-enam bintang, Marsya (Liza Hanim), Ammar (Ameng Spring), Amad (Siti Saerah), Thalita (Shuib), Hadie (Ina Naim) dan Auddra (Sharifah Shahirah) akan kembali berentap pada minggu tambahan tersebut.
Advertisement
“Semua yang terlibat, pengurus, juri, pihak produksi dan penaja, kami berbesar hati untuk menambah satu lagi minggu sebagai grand finale Talk To My Manager. Jadi, siapakah juara kita? Nantikan minggu hadapan,” katanya.
Minggu ini menyaksikan Siti Saerah dan Amad diumumkan sebagai Most Valuable Manager, manakala persembahan terbaik menjadi milik Marsya dan Liza Hanim.
Vokal terbaik turut dimenangi oleh Siti Saerah dan Amad dengan masing-masing membawa pulang RM1,000.
Berikut ialah kedudukan peserta untuk Week 7: The Finale:
1. Siti Saerah & Amad
2. Liza Hanim & Marsya
3. Ameng & Ammar Haikal
4. Ina Naim & Hadie
5. Sharifah Shahirah & Auddra
6. Shuib & Thalita
Menariknya, bintang TTMM, Thalita yang tidak dapat menghadiri konsert minggu ini kerana diserang virus Influenza A tetap mara ke minggu grand finale.
Dalam segmen battle duet, tempatnya digantikan oleh pengurus Amad, iaitu Siti Saerah, yang turut mempersembahkan lagu Menamakanmu Cinta dan Hal Hebat.
Antara persembahan menarik minggu ini termasuk Auddra dengan Damelo (Dolla), Ammar menerusi Cinta Dewa Dewi (Spider), Hadie menyampaikan #AwakKatMane (Taufik Batisah), dan Marsya yang memukau dengan Bring Me To Life (Evanescence).
Program ini dikendalikan oleh pengacara legenda Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil), bersama barisan juri ternama yang terdiri daripada Che Puan Sarimah serta Datuk AC Mizal manakala juri jemputan pula adalah penyanyi hebat, Misha Omar.
Saksikan konsert Talk To My Manager setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.