Sekilas
- Pelakon Adam Lee menerima tujuh jahitan di bawah kening selepas tewas kepada Alif Muhaimin dalam perlawanan Fury Redemption.
- Adam mengakui kekalahan disebabkan stamina yang kurang memuaskan dan cabaran menurunkan berat badan sebelum perlawanan.
- Walaupun tewas, Adam berasa bangga dengan usaha dan berjanji akan lebih bersedia jika ada perlawanan akan datang.
Menerima tujuh jahitan di bawah kening, pelakon, Adam Lee tetap berasa puas dan bangga dengan dirinya meskipun tewas di tangan aktor dan pempengaruh, Alif Muhaimin dalam perlawanan Fury Redemption yang berlangsung pada Ahad.
Adam atau nama lengkapnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 31, mengakui kekalahannya itu disebabkan staminanya tidak berada di tahap yang terbaik ketika pertempuran sengit tersebut.
“Selepas tujuh tahun bermain secara amatur dan buat pertama kali secara profesional, sebelum masuk gelanggang saya sudah tanam dalam fikiran, menang atau kalah itu perkara kedua.
“Meskipun tewas, saya yakin sudah buat yang terbaik pada pusingan pertama. Walaupun Alif pecahkan saya di muka, saya juga pecahkan kepala dia.
"Saya akui kalah pada stamina, dan itu memang satu kelemahan. Alif punya stamina memang luar biasa. Pusingan kedua, kepala saya macam berpusing, itu tanda badan sudah keletihan,” katanya kepada Gempak.
Suami kepada aktres Sweet Qismina itu turut berkongsi detik getir ketika melihat darah mengalir di kepalanya, seolah-olah terbayang karier lakonannya.
“Masa round kedua, bila saya nak bangun tengok ada darah, terus terfikir alamak karier saya, lakonan saya. Kalau saya teruskan, tetap akan kalah pada stamina.
“Alif TKO saya dengan penuh bergaya. Apa pun, saya berasa bangga dengan diri sendiri kerana berani masuk gelanggang Fury Redemption.
“Maaf kepada peminat jika mengharapkan saya menang. Saya sudah lakukan yang terbaik. Kalau ada perlawanan lagi, saya akan cuba lebih bersedia dan lakukan yang terbaik,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon berusia 31 tahun ini turut mendedahkan dia berdepan dengan cabaran menurunkan berat badan bagi persiapan perlawanan.
“Sebelum ini badan saya besar dan selalu bermain gym. Untuk menurunkan berat badan dan bersedia selama dua bulan bagi perlawanan Fury Redemption, rasanya tidak cukup. Itu memberi kesan kepada stamina saya,” katanya lagi.
Pertempuran antara Adam dan Alif di Arena Sukan Kuala Lumpur berakhir pada pusingan kedua apabila aktor itu tidak mampu lagi untuk meneruskan perlawanan.