Sekilas
- Dicky, pemuda yang pernah dibantu oleh seorang ‘pomen’ ketika motor rosaknya, kini menerima banyak ‘gift’ semasa siaran langsung TikToknya.
- Dicky berhasrat menggunakan wang hasil ‘gift’ tersebut untuk membalas jasa ‘pomen’ itu supaya dia dapat membantu lebih ramai orang.
Buat baik dibalas baik. Itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan situasi melibatkan Dicky, pemuda yang sebelum ini tular menerima pertolongan dari seorang ‘pomen’ ketika berdepan dengan situasi motor rosak di tepi jalan.
Terbaharu, Dicky yang membuat siaran langsung di TikTok telah menerima banyak ‘gift’ hasil pemberian ramai warganet yang bersimpati dengannya.
Terkejut dengan situasi itu, Dicky kemudiannya memaklumkan dia mahu menggunakan wang hasil ‘gift’ yang diterima untuk membalas jasa ‘pomen’ berkenaan.
Ujarnya, keputusan itu dibuat agar ‘pomen’ itu dapat membantu lebih ramai orang yang memerlukan.
“Sesiapa yang bagi gift di TikTok live ini, saya akan keluarkan duit dan duit itu saya akan bagi kepada abang itu supaya dia dapat bantu pula orang lain.
“Minggu depan saya nak cari abang (pomen) tu dan berjumpa dengan dia. Terima kasih semua,” kongsinya.
Terdahulu, seorang ‘pomen’ yang menggunakan nama sebagai Minyak Hitam Jalanan menyorot perhatian apabila berkongsi momen dirinya membantu Dicky yang kerosakan motor pada tengah malam.
Apa yang menyentuh hati ialah ‘pomen’ berkenaan memilih untuk tidak mengenakan sebarang bayaran kepada Dicky yang ketika itu dilihat dalam keadaan seperti kesempitan wang.
Sumber: TikTok