Penyanyi dan komposer, Firdaus Rahmat menzahirkan rasa rindu dan mengakui masih terkesan dengan kehilangan bapanya, Rahmat Ayob baru-baru ini.
Menurut Firdaus, walaupun tempoh bersama ayahnya hanya 28 tahun namun kenangan yang ditinggalkan akan kekal selama-lamanya.
“Allah pinjam Abah tak lama tapi kenangan dengan abah kekal sampai bila-bila. Terima kasih Allah untuk masa 28 tahun yang cukup indah dengan abah. Terima kasih jadi abah yang terbaik buat abang dan adik.
“Tak pernah rasa rindu yang tiada hujung macam ni … Allahuakbar .. Abah rehat ya bah. Abah pergi hari jumaat sebelum subuh, MashaAllah … jealousnya kami dengan abah,” tulisnya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Destinasi itu turut menegaskan mereka empat beradik akan menjaga ibu mereka seperti yang sering dipesan arwah.
Malah Firdaus juga tidak menyangka ucapan terima kasih oleh Allahyarham merupakan ungkapan terakhir bapanya.
“Sekarang ni abah dah tak payah risau pasal kitorang, tak payah pening fikir pasal kami empat beradik. Kitorang jaga mama okay? Pesan abah akan kami ingat setiap masa, InshaaAllah.
“Tak sangka betul last word abah dekat adik, “Terima kasih banyak adik ..”, rupanya sebab abah nak pergi dah hm. Sama-sama abah. Nanti kita jumpa dekat syurga ya. Assalamualaikum dan selamat jalan abah, We love you, forever Abah ❤️
“Mintak doa semua supaya rohnya dicucuri rahmat, ditempatkan dikalangan orang-orang beriman dan sedekah Al-Fatihah (dibaca) banyak2 kepada arwah abah kami ya. Terima kasih,” tambahnya.
Terdahulu, bapa kepada penyanyi dan komposer, Firdaus dan Fahimi Rahmat iaitu Rahmat Ayop dilaporkan meninggal dunia pada 5.30 pagi Jumaat.
Ketika dihubungi Gempak, Firdaus memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir semasa tidur.
Firdaus juga berkongsi jenazah arwah bapanya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.