Sekilas
- Penyanyi Kwon Eun Bi terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan acara fan sign dibatalkan.
- Agensinya, RBW Entertainment, mengesahkan Eun Bi sedang berehat dan menjalani pemeriksaan kesihatan.
- Eun Bi berkongsi di Weverse bahawa dia dalam keadaan baik tanpa kecederaan dan aktiviti minggu ini akan diteruskan seperti biasa.
Penyanyi, Kwon Eun Bi dilaporkan terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan acara bertemu peminat (fan sign) yang dijadualkan berlangsung terpaksa dibatalkan.
Perkara itu dimaklumkan agensinya, RBW Entertainment menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Menurut agensinya, Eun Bi kini sedang berehat dan menjalani pemeriksaan kesihatan susulan kemalangan berkenaan.
Bagaimanapun, sehari selepas kejadian (Isnin), Eun Bi kemudiannya tampil berkongsi perkembangan mengenai keadaan dirinya menerusi komuniti Weverse bagi meredakan kebimbangan peminat.
Menerusi perkongsian tersebut, Eun Bi berkata dirinya berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Semua, saya baik-baik saja! Tolong jangan terlalu risau.
“Ia benar-benar kemalangan kecil, jadi saya hanya terkejut seketika, tetapi saya benar-benar baik-baik saja dan tidak cedera langsung,” katanya.
Dalam pada itu, Eun Bi juga turut memaklumkan bahawa segala aktiviti yang telah dijadualkan untuk minggu ini akan diteruskan seperti biasa.
“Terima kasih atas keprihatinan anda semua dan saya akan berjumpa dengan anda tidak lama lagi dalam keadaan sihat,” coretnya.