Penyanyi, Marsha Milan mendedahkan dia berdepan dengan masalah paru-paru lemah yang menyebabkan tempoh pemulihan daripada demam atau batuk akan mengambil masa lebih lama berbanding biasa.
Kata Marsha, keadaan kesihatannya tahun lalu agak mencabar apabila dia beberapa kali mengalami demam dan batuk berpanjangan.
“Saya ada masalah paru-paru lemah. Selepas itu, setiap kali demam atau batuk, saya ambil masa sangat lama untuk pulih. Tahun lepas memang sangat menduga. Saya melalui beberapa episod demam dan batuk berpanjangan,” katanya kepada Gempak.
Tambah penyanyi itu, keadaan menjadi lebih serius apabila dia dijangkiti influenza sekitar Oktober hingga November tahun lalu.
Menurutnya, tempoh pemulihan ketika itu mengambil masa hampir dua bulan sebelum dia benar-benar kembali sihat.
“Paling teruk ketika dijangkiti influenza antara Oktober hingga November tahun lalu. Saya ambil masa hampir dua bulan untuk pulih sepenuhnya. Sepanjang tempoh itu saya bergelut kerana ada kerja tetap yang perlu diteruskan,” ujarnya.
Disebabkan masalah kesihatan yang dialami, Marsha turut berdepan kesukaran untuk meneruskan jadual kerjanya seperti biasa.
Ada beberapa sesi rakaman yang terpaksa ditangguhkan, malah dia juga perlu membatalkan beberapa undangan persembahan.
“Ada sesi rakaman yang terpaksa ditangguhkan. Malah saya juga terpaksa batalkan undangan persembahan. Dalam masa sama, ada juga persembahan yang saya teruskan walaupun sedang bergelut dengan batuk dan demam,” katanya lagi.
Walaupun berdepan cabaran kesihatan, Marsha tetap berusaha melakukan pelbagai langkah untuk memastikan dirinya kembali pulih.
Menurutnya, dia mendapatkan rawatan serta nasihat daripada doktor pakar selain mengambil vaksin bagi melindungi kesihatannya.
Malah pelantun lagu Hati Yang Tak Terbalas itu juga akui dia perlu memberi perhatian lebih terhadap gaya hidup bagi memastikan kesihatannya sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Tapi hidup perlu diteruskan. Saya buat apa yang perlu seperti ambil suntikan vaksin, berulang-alik berjumpa doktor pakar untuk pemeriksaan dan dapatkan nasihat. Steroid pun saya ambil walaupun ramai nasihatkan jangan, tapi ketika itu saya memang terpaksa.
“Perkara ini memang merisaukan saya. Tahun lalu, berbulan-bulan saya diuji dengan sakit yang berulang kali datang. Saya memang kena jaga kesihatan betul-betul. Kalau demam atau batuk, tempoh sembuh memang sangat panjang.
“Gaya hidup saya pun berubah. Tiada lagi makanan berminyak atau pedas. Saya juga perlu sentiasa merujuk pakar untuk memantau tahap kesihatan paru-paru,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Marsha juga tampil dengan sebuah lagu baru untuk runut bunyi filem Amira Amir lakonan Sophia Albarakbah dan Zahiril Adzim yang berjudul Hati Yang Tak Terbalas.
Amira Amir telah mula ditayangkan secara eksklusif di pawagam rumah anda, Astro First bermula 26 Februari 2026.
Seiring dengan mesej ramadan Astro tahun ini iaitu ‘Bila Bersama Lagi Jadi’, filem ini lebih menarik dinikmati bersama insan tersayang secara beramai-ramai apabila melanggan dengan hanya satu harga, iaitu RM15 di platform Astro dan sooka dalam tempoh 48 jam.