Sekilas
- Puan Sri Tiara Jacquelina kembali menghidupkan semula Puteri Gunung Ledang The Musical selepas dua dekad atas permintaan Tan Sri Jeffrey Cheah dan pasukan produksi.
- Lebih 22,000 peminat tidak berjaya mendapatkan tiket, namun Tiara berpuas hati dengan komitmen luar biasa barisan pelakon baharu yang terlibat.
- Produksi mega ini akan dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Sunway Square.
Selepas pernah nekad untuk memberi tumpuan kepada projek lain dan ‘berehat’ dalam dunia teater buat sementara waktu, Puan Sri Tiara Jacquelina akhirnya kembali menghidupkan semula Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL).
Lebih menarik, keputusan tersebut bukan kerana faktor komersial, sebaliknya tercetus daripada permintaan kuat pasukan produksi sendiri selain dorongan tokoh korporat Tan Sri Jeffrey Cheah, bersempena dengan pembukaan Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) Sunway Square.
“Betul, pada ketika itu saya kata, okeylah, saya sudah selesai dengan benda (teater) ini. Kerana apabila terlibat dengan pementasan, ia memakan masa yang sangat lama. Penat.
“Namun, teater ini dipentaskan atas cetusan idea dan permintaan Tan Sri Jeffrey Cheah. Kalau tidak, saya memang sudah sibuk dengan projek yang lain seperti Dream Forest Langkawi dan Tiarasa.
“Saya ingat beliau kata ‘boleh pentaskan semula produksi teater anda?’ Saya tanya yang mana? ‘Beliau kata PGL-lah’”, beritahu Tiara mengenai bagaimana beliau kembali terbuka hati mementaskan PGL selepas dua dekad dan pernah ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.
Tiara ditemui di pejabat EnfinitiI di Damansara sempena sesi wawancara dan pra tonton latihan PGL eksklusif bersama media.
Menurutnya lagi, meskipun kira-kira 22,000 peminat terpaksa kecewa kerana tidak memperoleh tiket, beliau langsung tidak menyesali keputusan untuk mementaskan semula karya berkenaan.
“Berbaloi 100 peratuslah. Saya dah berlakon banyak filem, drama dan teater. Kita boleh tengok ada orang tertentu saja yang sanggup berikan 100, 200 peratus daripada apa yang mereka beri.
“Kadang-kadang bukan hari latihan pun mereka datang. Mereka datang berlatih, duduk dalam black box, berlatih seorang diri, menari, bersilat dan menyanyi. Tak ada orang suruh pun!
“Mana nak dapat pelakon macam itu? Honestly!” katanya.
Sementelah, beliau mempersiapkan wajah-wajah baharu yang memiliki kualiti dan berkaliber dengan peranan yang diberi untuk menghidupkan PGL versi kini. Mereka terdiri daripada Aisha Retno dan Mila Mohsin sebagai Gusti Puteri Retno Dumilah atau Puteri Gunung Ledang.
Aqasha dipertanggungjawabkan menghidupkan watak Hang Tuah, Luqman Hafidz sebagai Sultan Melaka serta Yusof Hashim sebagai Gusti Adipati.
Turut membarisi produksi mega ini adalah Mimi Fly dan Nadia Aqilah yang berkongsi watak Bayan.
Tiara berkata, komitmen luar biasa barisan pelakon ini juga menjadi antara sebab beliau tidak mudah menerima cadangan peminat yang mempersoalkan pemilihan pelakon untuk PGL.
“Bila orang pertikaikan kenapa tidak orang ini, kenapa tidak orang itu, saya kata siapa yang sanggup?
“Kita kerja 12 jam setiap hari. Penat, batuk atau demam sekalipun mereka datang. Terseliuh kaki, esok datang terus. Hari ini drip, esok dah datang balik,” katanya lagi.
Beliau kemudian menegaskan,PGL bukan naskhah yang boleh dipersembahkan dengan sekadar menghafal lagu dan skrip kerana setiap pelakon dituntut memberikan komitmen sepenuhnya, termasuk anggota ensemble.
“PGL ini bukan jenis bagi lagu, saya hafal, skrip okey, kemudian boleh pergi concert di situ. Tak boleh.
“Dan tengok, ada tak siapa yang cong (berbohong)? Yang jadi ensemble pun tak cong. Satu orang pun tak cong. Semua ‘memberi.’
“Dalam rehearsal room lagi mereka beri. Saya rasa sangat bersyukur dapat bekerja dengan pelakon yang begitu dedikasi. Jarang, jarang,” katanya penuh teruja.
PGL akan dipentaskan bermula 31 Oktober sehingga 15 November ini di (JCPAC) Sunway Square.