Sekilas
- Puteri Gunung Ledang The Musical kembali mencipta fenomena apabila tiket habis terjual dalam masa dua jam dengan lebih 22,000 orang masih menunggu dalam talian.
- Pengarah Tiara Jacquelina berterima kasih kepada peminat lama dan generasi baru yang terus menyokong produksi teater ini selama 20 tahun.
- Pementasan akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, dengan kemungkinan pementasan tambahan sedang dipertimbangkan.
Dua puluh tahun selepas pertama kali menawan hati penonton Malaysia, kini Puteri Gunung Ledang The Musical sekali lagi mencipta fenomena.
Kesemua tiket bagi pementasan semula yang dinanti-nantikan ini habis terjual dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan kepada umum dibuka, dengan lebih 22,000 orang masih berada dalam senarai menunggu dalam talian sehingga jam 10 malam.
Angka luar biasa itu memberi gambaran jelas bahawa permintaan untuk menyaksikan produksi tersebut jauh melebihi jumlah tempat duduk yang tersedia bagi musim pementasan kali ini.
Sambutan ini bukan sahaja menjadi satu detik istimewa buat Puteri Gunung Ledang The Musical, malah memberi petanda yang amat menggalakkan untuk industri teater dan seni persembahan tanah air.

Bagi Pengarah dan pencipta bersama produksi asal, Puan Seri Tiara Jacquelina, sambutan tersebut amatlah mengharukan dan di luar jangkaan.
“Sejujurnya, saya sendiri hampir kehilangan kata-kata melihat apa yang berlaku. Dua puluh tahun selepas kami pertama kali membawa Puteri Gunung Ledang ke pentas.
“Mengetahui bahawa rakyat Malaysia masih menyimpan cerita ini begitu dekat di hati mereka dan kini ada pula generasi baharu yang begitu teruja mahu mengenalinya, memang sangat menyentuh hati saya.
“Dua puluh tahun lalu, kami hanya mampu berharap PGL akan menjadi sesuatu yang dikenang oleh rakyat Malaysia.
“Kini, rakyat Malaysia mengingatkan kami bahawa mereka tidak pernah melupakannya. Pada jam 10 malam, lebih 22,000 orang masih berada dalam barisan dalam talian walaupun tiket telah habis terjual.
“Satu tahap permintaan yang menurut saya membawa makna jauh lebih besar daripada kejayaan sebuah produksi semata-mata.
“Bagi saya, ini bukan sekadar cerita tentang PGL. Ini satu petanda yang sangat menggalakkan untuk teater Malaysia dan seni persembahan negara.
“Ini menunjukkan bahawa penonton kita dahagakan cerita kita sendiri, bakat kita sendiri dan produksi tempatan yang lahir daripada kreativiti rakyat Malaysia.
“Saya harap sambutan seperti ini akan memberi lebih keyakinan kepada semua pihak yang percaya dan mahu terus melabur dalam perkembangan seni persembahan Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tiara merakamkan penghargaan kepada generasi peminat yang terus menyimpan PGL di hati mereka sepanjang tempoh tersebut.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya kepada semua peminat yang telah membawa PGL bersama mereka selama ini.
“Ada yang bersama kami dua puluh tahun lalu dan kini mahu membawa anak-anak pula untuk menontonnya.
“Pada masa yang sama, ada generasi muda yang baru pertama kali akan mengenali dunia PGL. Bagi saya, itulah antara perkara paling indah tentang kepulangan ini,” katanya.
Walaupun belum ada sebarang pementasan tambahan disahkan, Tiara mengakui memahami kekecewaan mereka yang telah menunggu tetapi masih tidak berjaya mendapatkan tiket.
“Kepada semua yang menghabiskan malam menekan ‘refresh’, menunggu dalam barisan dan akhirnya masih tidak berjaya mendapatkan tiket, saya benar-benar minta maaf.
“Pasa masa yang sama saya amat terharu dan berterima kasih kerana anda begitu mahu bersama kami. Kami nampak anda. Kami dengar anda.
“Mungkin perjalanan PGL belum berakhir di sini. Sudah ada beberapa pihak yang mendekati kami dan perbincangan awal mengenai kemungkinan membawa PGL melangkaui musim ini, termasuk minat dari beberapa negeri lain di Malaysia.
“Belum ada apa-apa yang dapat kami sahkan, dan fokus mutlak kami sekarang adalah untuk memberikan sebuah persembahan yang luar biasa.
“Tetapi selepas melihat sambutan ini, sudah tentu kami perlu melihat dengan serius apa lagi yang mungkin dapat dilakukan selepas ini,” jelasnya.
Buat masa ini, Tiara berkata sambutan luar biasa tersebut memberikan seluruh pasukan satu tanggungjawab yang lebih besar ketika latihan diteruskan.
“Penonton sudah memberikan kepercayaan mereka kepada kami. Sekarang giliran kami untuk membuktikan bahawa kami layak menerima kepercayaan itu.
“Kami tidak sabar untuk menyambut anda semua kembali ke Ledang,” ujarnya.
Pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical akan bermula dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.