Sekilas
- Aqil Farhan berkongsi pengorbanan meninggalkan rutin harian sebagai anak sulung demi mengejar impian bermain bola sepak di liga amatur Indonesia.
- Dia menerima jemputan bermain bola sepak di Indonesia daripada rakannya dan menganggap cabaran bahasa serta persekitaran sebagai ujian kemampuan diri.
- Walaupun menerima kecaman, Aqil menjadikan ia motivasi untuk terus berusaha dan pernah tercalon dalam kategori Digital Creator (Sports) Tergempak 2025.
Pempengaruh media sosial, Aqil Farhan berkongsi pengorbanan yang perlu dilakukannya selepas berjaya melebarkan sayap sebagai seorang pemain bola sepak di liga amatur di Indonesia.
Kongsi Aqil, dia perlu meninggalkan rutin harian sebagai anak sulung dalam keluarga seperti menghantar adik-adik ke sekolah demi mencapai impiannya bermain bola sepak.
"Bila cakap soal pengorbanan, pada saya pengorbanan paling besar adalah apabila saya perlu tinggalkan keluarga.
“Saya merupakan anak sulung dan adik-adik saya memerlukan saya. Antara khidmat yang saya selalu lakukan ialah hantar dan ambil mereka dari sekolah.
“Jadi, rutin seperti itu harus saya tinggalkan demi untuk saya capai impian saya,” katanha kepada Gempak.
Aqil berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis anugerah Gempak Most Wanted Award 205 (GMWA2025), baru-baru ini.
Ditanya mengenai bagaimana boleh terpilih untuk bermain bola sepak di Indonesia, Aqil berkata dia mendapat jemputan daripada seorang rakannya di sana.
Berkongsi mengenai pengalamannya pula, Aqil mengakui perbezaan bahasan dan persekitaran menjadi cabaran buatnya namun dia hanya menganggap ia sebagai satu cara untuknya menguji kemampuan diri.
"Saya ada seorang kawan di Indonesia dan dia sendiri pelawa saya untuk bermain dan rasakan sendiri suasana bola sepak di sana.
“Bila dia pelawa saya rasa macam kenapa tidak kan? Jadi saya pun cabar diri untuk bermain di luar negara.
“Cuma biasalah persekitaran di sana sedikit berbeza dan paling mencabar ialah perbezaan bahasa tapi saya okay saja,” katanya lagi.
Meskipun terkenal dengan konten melakukan video latihan bola sepak namun anak muda ini tidak terlepas daripada kecaman.
Walau bagaimanapun, Aqil menjadikan segala kecaman yang diterima sebagai motivasi untuknya agar tidak mudah berputus asa.
"Kecaman itu ada tapi ia seakan memotivasikan saya untuk lebih bekerja keras.
“Pada saya, kalau terlalu selesa dan tak ada kecaman saya akan duduk di takuk yang sama saja,” katanya lagi.
Sekadar info, pada malam anugerah GMWA2025 lalu, Aqil tercalon bagi kategori Digital Creator (Sports) Tergempak 2025 yang dimenangi oleh Hakim Nanyan.
Selain Aqil, Hakim telah mengalahkan lapan lagi calon lain seperti Padil, Mikail Ghazali, Juju Soya, Rippo Kun, Sharul Aimy, Sekys, Zeem Ahmad dan Khalish.