Penyanyi, Marsha Milan mengambil keputusan untuk menangguhkan pelancaran muzik video (MV) terbaharunya berjudul Tangisan Seorang Pendosa.
Menurut Marsha, keputusan itu diambil sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Malaysia yang kini menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Buat semua peminat dan rakan-rakan tersayang, saya ingin memaklumkan bahawa pelancaran muzik video Tangisan Seorang Pendosa yang dijadualkan pada hari ini jam 8 malam akan ditunda,” tulisnya.
Dalam pada itu, penyanyi asal Sabah itu meminta agar rakyat Malaysia tiak berhenti berdoa untuk keselamatan semua sukarelawan yang menyertai misi kemanusian tersebut.
Advertisement
“Pada saat ini, marilah kita bersatu dalam doa agar Allah mengurniakan keselamatan, kesihatan yang baik serta kemudahan buat rakyat Malaysia dan sahabat-sahabat kita yang menyertai Global Sumud Flotilla.
“Semoga Allah melindungi mereka, menguatkan ketabahan mereka dan mengembalikan mereka ke pangkuan keluarga serta tanah air dengan selamat, insya-Allah,” tambahnya.
Keputusan Marsha itu turut menerima sokongan ramai peminat yang rata-rata memuji keprihatinannya terhadap isu kemanusiaan sejagat.
Pada Khamis lalu, media melaporkan seramai 23 sukarelawan Malaysia ditahan tentera Israel ketika menyertai misi berkenaan.
Selain Heliza, antara yang terlibat ialah Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardel Aryana), Zizi Kirana, Zulfadhli, Rusydi Ramli, Musa Nuwayri, Muaz Zainal, Haikal Abdullah, Iylia Balqis, Sul Aidil dan Norfarahin Romli (Farah Lee).
Bagaimanapun, menurut laporan Astro AWANI , semua sukarelawan berkenaan disahkan selamat dan akan dibawa pulang menerusi sebuah negara ketiga.
Misi Global Sumud Flotilla dilancarkan sebagai usaha membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang berdepan krisis kemanusiaan terburuk akibat kekejaman berterusan rejim Zionis.