Sekilas
- Umie Aida berkongsi pengalaman mengenali Puteri Balqis sejak 2013 dan memuji sikap matang serta hormat Balqis terhadap ibunya.
- Umie menjelaskan Balqis dibesarkan dalam keadaan sukar tetapi tetap beradab dan profesional sepanjang bekerja bersama.
- Umie turut mendoakan kebahagiaan Balqis selepas pertunangannya dan berharap isu yang melibatkan Balqis dapat diselesaikan dengan baik.
Pelakon, Datin Paduka Umie Aida berkongsi berkongsi luahan menyentuh hati mengenai aktres, Puteri Balqis sepanjang mengenalinya sejak tahun 2013.
Menurut Umie, detik perkenalan yang bermula di set penggambaran itu sekaligus memberi ruang kepadanya untuk menyaksikan sendiri proses pembesaran Balqis atau lebih mesra dipanggil Aqish.
“Aqish ibu minta maaf nak kongsi sedikit sahaja. Siapakah Puteri Balqis dimata ibu. Saya kenal Aqish sejak 2013.
“Dari hari pertama kami shooting bersama, watak sebagai ibu dan anak. Dapatlah saya menyaksikan sedikit bagaimana dia membesar.
“Aqish berkongsi ceritanya, bukan dalam kehidupan yang mudah, tetapi dalam kepahitan yang membentuk adab dan kekuatannya hari ini,” kongsinya menerusi hantaran di Instagram.
Tambah Umie lagi, Aqish merupakan seorang anak yang baik dan sangat menghormati ibunya, selain bersikap matang di usia muda.
“Aqish adalah anak yang baik dan sangat menghormati ibunya. Dari kecil, dia melihat sendiri susah payah dan luka hidup seorang ibu yang dia sayangi.
“Sebab itulah dia membesar sebagai anak yang melindungi ibunya. Ibunya melalui kesakitan hidup yang dia pikul sendiri tanpa ada yang sudi memahaminya.
“Allahuakbar, saya tak nak sentuh bab tu, korang pun dah tahukan. Ibu Aqish wanita yang kuat,” tegasnya.
Dalam hantaran yang sama, Umie berkata dia juga tidak mempunyai sebarang masalah sepanjang bekerja bersama Aqish.
“Kita cerita bab kerja. Sepanjang saya bekerja dengannya, Aqish sentiasa beradab dan anak yang manja.
“Selesai shooting, dia tidak pernah berlalu tanpa salam dan cium tangan. Iya! Dia seorang yang reserved, bukan sombong, cuma anak yang dibesarkan oleh pengalaman hidup yang keras, dan itu wajar difahami, bukan dinilai secara negatif,” jelasnya.
Umie turut meluahkan rasa syukur melihat Aqish kini menemui kebahagiaan baharu, termasuk pertunangannya, selepas melalui fasa kehidupan yang sukar.
“Alhamdulillah, sekarang Aqish dah ada keluarga baru dan tunang. Tak sabor ibu nak mkn nasi minyak Aqish.
“Suatu ketika dulu mereka dipinggirkan, orang tak peduli soal makan, duit dan kehidupan mereka. Bukan kerana dia tidak mahu berkongsi, tetapi kerana tiada siapa benar-benar mahu mendengar.
“Jadi bila hari ini mereka cuba bernafas dan mencari bahagia, tolong jangan ganggu. Ibu doakan Aqish dan keluarga sentiasa dalam lindungan dan jagaan Allah dan diluaskan rezeki mu.
“Love you! Semoga segala yang berlaku sekarang ini dapat diselesaikan dengan baik,” tulisnya.

Terdahulu, nama Puteri Balqis sedang menjadi perhatian di media sosial susulan perbalahannya bersama seorang lagi pelakon, Mia Sara Nasuha.
Aqish mendakwa Mia Sarah Nasuha, 21, pernah mengaib serta menghina ibunya, Norashikin Abdul Aziz, sehingga memberi kesan yang mendalam terhadap kesihatan mental ibunya itu.
Aqish turut mendakwa wujud insiden membabitkan perbuatan membuli di set penggambaran beberapa tahun lalu selain berkongsi pernah diketepikan ketika ingin bergambar bersama peminat kerana dianggap kurang dikenali ketika itu.