Sekilas
- Persembahan akustik Justin Bieber dengan lagu "Everything Hallelujah" di separuh masa Final Piala Dunia FIFA 2026 mencatatkan peningkatan penstriman global sebanyak 240% di Spotify.
- Pemilihan lagu reflektif itu mengejutkan ramai kerana tidak seperti jangkaan lagu hit rancak, dan ia diperkenalkan oleh pelakon Jason Sudeikis sebagai watak Ted Lasso.
- Kontroversi dan rasa ingin tahu tentang lagu tersebut melonjakkan carian Google dan penstriman Spotify, mengulangi kejayaan Bieber dalam menarik perhatian penonton melalui persembahan mengejutnya.
Persembahan Justin Bieber di pentas separuh masa Final Piala Dunia FIFA 2026 mungkin membuat ramai penonton tertanya-tanya, namun ia turut mencetuskan fenomena luar biasa di Spotify.
Lagu Everything Hallelujah yang dipersembahkan secara akustik mencatatkan peningkatan penstriman global sebanyak 240 peratus selepas dinyanyikan secara langsung di hadapan jutaan penonton di seluruh dunia, lapor CBN.
Ironi Bieber melakukan ‘kejutan’ yang disifatkan sebagai di luar jangkaan, sedangkan ramai yang menyangka dia akan menyampaikan lagu popular seperti Baby atau hit terbaharunya Yukon.
Namun penyanyi itu memilih untuk duduk sambil memetik gitar dan menyanyikan lagu berunsur refleksi yang diterbitkan pada 2025.
Lebih menarik, persembahan tersebut diperkenalkan oleh pelakon Jason Sudeikis yang muncul sebagai watak ikonik Ted Lasso, sekali gus menjadikan momen itu antara yang paling diperkatakan sepanjang persembahan separuh masa.
Meski ramai yang memuji keberanian Bieber kerana tidak mengikut formula persembahan separuh masa yang kebiasaannya dipenuhi lagu rancak, ramai juga yang mempersoalkan mengapa dia memilih lagu yang perlahan dan berunsur kerohanian ketika acara sukan terbesar dunia.
Malah, satu ciapan yang tular di platform X menyindir: "Justin Bieber nampak orang tengah seronok, terus dia pilih lagu yang boleh ubah mood satu stadium.”
Namun, kontroversi itu sebenarnya mengundang rasa ingin tahu orang ramai. Carian Google untuk kata kunci seperti "Justin Bieber Hallelujah song" dan "Justin Bieber song Hallelujah" melonjak tinggi apabila ramai cuba mengetahui sama ada lagu tersebut benar-benar milik Bieber.
Pada masa sama, ramai peminat mula ke platform penstriman Spotify untuk mendengarnya sebelum ia meledak sehingga 240 peratus.
Ini bukan kali pertama Bieber berjaya menukar perhatian ramai menjadi kejayaan penstriman. Awal tahun ini, kemunculan mengejutnya di Coachella 2026 turut mencatatkan lebih 24 juta penstriman Spotify dalam sehari.