Sekilas
- Uqasha Senrose dan bekas suaminya, Kamal Adli, kekal menjalinkan hubungan baik demi membesarkan anak perempuan mereka, Hawra Uqaira.
- Uqasha menganggap hubungan mereka selepas perceraian sebagai proses bersama untuk menjadi ibu bapa terbaik kepada anak mereka.
- Kamal dan Uqasha bercerai pada Januari lalu selepas berkahwin pada November 2021 dan kini fokus menjaga kebajikan anak mereka yang berusia dua tahun.
Pelakon, Uqasha Senrose dan bekas suaminya, Kamal Adli kekal menjalinkan hubungan baik demi membesarkan anak perempuan mereka, Hawra Uqaira.
Tidak pernah menganggap dirinya sempurna, Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 34, melihat hubungan yang terjalin dengan Kamal selepas perceraian adalah sebagai satu proses untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab membesarkan anak.
“Saya tak cakap diri saya ni baik, saya anggap ini hanya proses kami sebagai ibu bapa kepada Uqaira.
“Alhamdulillah, selepas apa yang terjadi kami berhubung atas dasar anak.
“Dia (Kamal) tidak pernah merumitkan saya dan saya juga tidak pernah menyusahkan dia kerana apa saja untuk Uqaira kami cuba buat yang terbaik dan menjadi ibu bapa yang terbaik,” katanya.
Uqasha berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media pelancaran drama iQIYI Original, Madu Atau Racun yang diadakan di A Quiet Place, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Selasa.
Bagaimanapun kata Uqasha, dia masih belajar menjadi seorang ibu yang baik dan akan sentiasa mengutamakan segala keputusan yang memberi manfaat kepada anaknya.
“Apa sahaja yang terbaik, saya ikut kerana saya pun baru berpengalaman menjadi seorang ibu.
“Saya pun baru nak rasa menjaga anak, tahu perasaan seorang ibu itu bagaimana. Jadi kalau itu yang terbaik untuk anak saya, saya ikut.
“Saya tidak mahu kecoh-kecoh, biarlah perkara itu menjadi antara saya dan anak saya. Kalau dia (Kamal) nak kongsikan terpulang kepada dia,” ujarnya.
Sebelum ini, Kamal meraih perhatian apabila menitipkan ucapan terima kasih kepada bekas isterinya, Uqasha kerana memberi peluang untuk meluangkan masa bersama anak perempuan mereka.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang memuji sikap matang Kamal kerana menghargai bekas isterinya dan mengutamakan hubungan baik demi anak mereka.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Janda Baik, Pahang.
Bagaimanapun, pasangan ini disahkan bercerai pada 12 Januari lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun.