Sekilas
- Peguam syarie Uqasha Senrose, Muhammad Syazmee Sapian, menafikan dakwaan bahawa Kamal Adli disukarkan untuk berjumpa dengan anak mereka, Hawra Uqaira.
- Kamal telah pun berjumpa dengan anaknya pada 10 November lalu dalam pertemuan yang dirancang bersama keluarga Uqasha di sebuah kedai kopi.
- Uqasha menghormati peranan Kamal sebagai bapa dan tiada halangan untuk Kamal meluangkan masa bersama anak mereka.
Didakwa menyukarkan proses pelakon Kamal Adli untuk berjumpa dengan anak Hawra Uqaira, peguam syarie kepada aktres, Uqasha Senrose iaitu Muhammad Syazmee Sapian, menafikan perkara tersebut.
Muhammad Syazmee berkata anak guamnya terbuka untuk berbincang perkara melibatkan Hawra dan Uqasha juga tidak mempunyai sebarang halangan berkaitan pertemuan antara Kamal dan anak mereka.
“Bagi isu anak, pihak kami percaya bahawa sebenarnya perjumpaan sudah pun berlaku. Kamal sudah berjumpa anaknya, siap pergi ke kedai kopi, bawa berjalan dan sebagainya pada 10 November baru-baru ini.
“Hakikatnya, perkara itu dibincangkan bersama adik Uqasha jadi mereka dibawa berjumpa di satu kedai kopi. Bukannya terjumpa, bukannya tak sengaja, bukannya tidak dirancang, ia memang dirancang untuk berjumpa dengan anak tersebut.
“Jadi, dakwaan bahawa tak bagi jumpa anak itu tidak betul. Hakikatnya, Kamal memang sudah berjumpa anak pada hari itu,” katanya kepada Gempak.
Muhammad Syazmee juga memaklumkan, Uqasha menghormati peranan Kamal sebagai bapa dan tidak pernah berniat untuk menjauhkan mereka.
“Mengenai perancangan untuk Kamal berjumpa anak, tidak ada masalah. Kalau dia mahu hantar atau dimaklumkan lebih awal, kami boleh berbincang perkara itu, sebab kita hormati kedudukannya sebagai bapa.
“Kami percaya anak perempuan memang ada ikatan dengan bapa, jadi tiada masalah selagi tiada halangan atau isu lain,” katanya.
Sebelum ini, Kamal memohon agar isterinya iaitu aktres Uqasha Senrose memberi kelonggaran dan memudahkan dia untuk meluangkan masa bersama anak perempuannya, Hawra Uqaira.
Kamal kata urusan peribadi tidak sepatutnya dikongsikan kepada umum kerana fokusnya hanya mahu menjaga anaknya.