Skip to main content

Hiburan

Ustaz Tajdid Hadhari Kongsi Tujuan Kain Kafan - “Dalam Islam Tidak Disyaratkan Mahal, Boleh Jadi Haram Kalau…”

Ustaz bola

Sekilas

  • Usahawan Haliza Maysuri tular selepas menempah set kit kafan berharga RM999 daripada pereka fesyen Datuk Rizalman sebagai persiapan menghadapi kematian.
  • Ustaz Tajdid Hadhari menjelaskan kain kafan dalam Islam tidak perlu mahal dan pembaziran boleh jadi haram, dengan tujuan utama menutup aurat dan memuliakan jenazah secara sederhana dan sama rata.
  • Kain kafan tidak ada tarikh luput dalam Islam selagi ia bersih, tiada cacat cela dan najis, tetapi tidak boleh digunakan jika sudah rosak teruk.

Baru-baru tular mengenai usahawan Haliza Maysuri yang sudah menempah set kit kafan berharga RM999 daripada pereka fesyen Datuk Rizalman sebagai persiapan menghadapi kematian. 

 

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada wargamaya yang berpendapat pakaian di alam kubur nanti hanya memerlukan kain kafan.

 

Personaliti radio Zayan iaitu Ustaz Tajdid Hadhari menjelaskan kain kafan tidak disyaratkan mahal dalam Islam bahkan hukumnya boleh menjadi haram sekiranya terlalu membazir. 

 

“Bila sebut tentang isu yang viral, ada yang kata kain kafan terlalu mahal. Sebenarnya dalam Islam tidak disyaratkan mahal, bahkan makrur berlebih-lebihan, boleh juga jadi haram kalau terlalu membazir. 

 

“Sebab Nabi pun ada berpesan, pakaikan la pakaian putih kerana ia adalah sebaik-baik pakaian kamu. Dan kafankan la orang yang meninggal dunia dengan kain putih. 

 

“Sebab tujuan kain kafan, pertama untuk menjaga maruah jenazah paling penting. Kedua, kalau kita tengok semua yang meninggal dunia, diutamakan kain putih tujuannya sederhana dan kesamaan manusia. 

 

“Walaupun orang itu berpangkat besar ke, keturunan yang besar… sama saja dengan golongan orang biasa. Jadi kalau timbul isu yang guna lagi mahal, berbanding orang biasa. Itu dah lari tujuan asal kafan itu,” katanya kepada Gempak. 

 

Dalam pada itu, Ustaz Hadhari turut berkata tujuan kafan adalah bagi peringatan tentang pengakhiran di dunia selain ia juga menghapuskan perbezaan darjat dan harta. 

 

“Tujuan kafan juga mengingatkan yang hidup tentang pengakhiran kita di dunia. Kalau kita tengok tujuan, menghapuskan perbezaan darjat dan harta. Sebab kita pulang ke Sana, balik kepada Allah, dalam keadaan yang sama. 

 

“Yang penting, tujuan asalnya menutup aurat, memuliakan jenazah, patuh syariat dan kesamarataan,” ujarnya. 

 

Ustaz Hadhari bagaimanapun memberitahu kain kafan tidak mempunyai tarikh luput namun ia tidak boleh digunakan lagi jika sudah mengalami kerosakan yang teruk. 

 

“Sebenarnya dalam Islam tak ada tarikh luput untuk kain kafan. Ada tiga syarat di mana kain kafan itu bersih, tidak ada cacat cela, tidak ada najis dan selagi itu boleh guna. 

 

“Kalau dah rosok teruk, tak boleh la guna. Tak ada tarikh luput dalam Islam,” katanya lagi. 

Must-Watch Video

Advertisement