Sekilas
- Verrell Bramasta, anggota DPR Indonesia dari PAN, tular selepas memakai jaket tektikal ketika melawat kawasan banjir di Padang, Sumatera Barat.
- Verrell menafikan jaket tersebut jaket anti peluru dan menjelaskan ia digunakan untuk membawa kelengkapan penting semasa tinjauan di kawasan bencana.
- Beliau menyeru masyarakat fokus pada kerja bantuan kepada mangsa banjir dan bukan pada penampilannya semasa lawatan tersebut.
Artis yang kini merupakan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia Fraksi Partai Amanat Nasional (PAN), Verrell Bramasta sedang tular dalam kalangan pengguna media sosial selepas penampilannya melawat kawasan banjir disifatkan keterlaluan.
Verrell dilihat hadir meninjau lokasi bencana di Padang, Sumatera Barat dengan memakai jaket anti peluru.
Namun lelaki tersebut pantas menafikan dakwaan netizen jaket yang dipakai merupakan jaket anti peluru tetapi dikenali sebagai jaket tektikal biasa yang lazim dipakai saat melakukan aktiviti tinjauan.
Jaket tersebut dilengkapi beberapa poket yang dikenali sebagai Molle untuk memudahkan pemakai membawa kelengkapan penting seperti telefon bimbit, ubat dan alat komunikasi yang digunakan sewaktu darurat.
“Saya perlu bergerak cepat dan dalam masa sama harus membawa kelengkapan yang diperlukan. Di kawasan bencana, ada banyak risiko jadi jaket tektikal atau tactical vest membantu saya untuk itu (bergerak),” jelas Verrell menerusi kenyataan rasmi seperti dilaporkan Kompas.
Menerusi kenyataan rasmi yang sama, Verrell meminta masyarakat untuk lebih memberi tumpuan terhadap kerja-kerja bantuan kepada mangsa banjir yang dilakukan bukan melihat penampilannya.
“Niat saya hanya ingin membantu masyarakat dan setidaknya mengurangi sedikit beban serta trauma mereka," kata Verrell.
Verrell diketahui mengunjungi lokasi yang mengalami banjir lumpur dan tanah runtuh di Padang pada hujung minggu lalu.