Sekilas
- Amai Kamarudin telah menceburi perniagaan batik sejak 2018 dan menghasilkan sendiri reka bentuk baju batik tersebut.
- Beliau menggunakan kemahiran melukis yang dipelajari sejak sekolah untuk menghasilkan produk batik jenamanya.
- Jualan batik Amai boleh mencecah antara RM3,000 hingga RM10,000 sebulan bergantung kepada musim dan acara.
Video memaparkan pelakon Amai Kamarudin yang menghasilkan sendiri baju batik sebelum ini tular di media sosial, sekali gus membuatkan ramai tertanya-tanya mengenai perniagaan yang diceburinya itu.
Menjawab kepada persoalan ramai, Amai atau nama lengkapnya Kapten B (PA) Muhammad Kamal Kamarudin memaklumkan dia sudah menceburi perniagaan batik sejak 2018 lagi.
Ujar Amai, dia sememangnya mempunyai kepakaran dalam bidang melukis sejak di bangku sekolah dan sememangnya seorang yang gemar mengenakan pakaian batik.
“Saya mula berlakon pada tahun 2006 dan bisnes batik ini saya mulakan pada 2018. Jadi sambil daripada berlakon tu, saya buat bisnes ini.
“Waktu di sekolah dulu, saya sering bantu cikgu melukis mural di dinding sekolah. Saya juga banyak masuk pertandingan melukis dan kebanyakkannya saya menang.
“Kebetulan saya juga merupakan seorang yang suka pakai baju batik dan baju yang berwarna-warni. Jadi dari situlah saya terdetik untik buat bisnes batik dan buat jenama sendiri,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Ditanya mengenai pendapatan yang diperoleh melalui bisnes itu, pelakon yang juga penerbit bagi filem Misteri Fraser 1910 ini memaklumkan ianya bergantung kepada musim dan acara yang disertai.
Menurutnya, jualan pada waktu biasa boleh mencecah sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sebulan, manakala jumlah paling tinggi yang pernah dicapai adalah sebanyak RM10,000.
“Kalau macam waktu-waktu hari biasa ni dia anggaran dalam RM3,000 ke RM5,000.
“Paling tinggi buat masa ni adalah pada musim perayaan iaitu sekitar RM10,000,” katanya lagi.
Ditanya mengenai video dirinya yang menghasilkan baju batik di media sosial, Amai mengakui tidak menyangka video tersebut akan meraih perhatian ramai.
Ujar Amai, tujuan utam dia berkongsi video tersebut adalah untuk menguar-uarkan kepada orang ramai bahawa produk batik jenamanya itu dihasilkan sendiri olehnya.
“Sebenarnya tak expect pun sebab saya hanya nak maklumkan yang batik itu saya buat sendiri.
“Saya sendiri yang lukis, mewarna dan boleh dikatakan saya buat dari awal sampai habis proses,” tambahnya.
Terdahulu, tular video Amai menghasilkan sendiri baju batik dari proses melukis hingga mewarna sebelum perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai dan dikongsi beribu-ribu kali di media sosial.