Sekilas
- Vokalis Steelheart, Miljenko Matijevic, akan melancarkan versi baharu lagu klasik Without You pada 10 Julai dengan rakaman orkestra yang lebih emosional.
- Versi asal lagu itu dirakam pada 1996 tetapi tidak pernah diterbitkan, dan pelancaran ini bersempena ulang tahun ke-30 Steelheart.
- Steelheart kini aktif dengan kempen SteelHeart 30 termasuk album khas, kolaborasi bersama Jeff Keith, dan edisi terhad vinil ditandatangani.
Vokalis kumpulan Steelheart, Miljenko Matijevic, bakal kembali mengubat rasa rindu peminat apabila melancarkan versi baharu lagu klasik Without You di semua platform penstriman digital bermula 10 Julai ini.
Penyanyi rock kelahiran Croatia yang terkenal dengan julat vokal empat oktaf itu memilih untuk memberikan nafas baharu kepada lagu malar segar berkenaan menerusi sebuah rakaman yang lebih emosional dan dramatik.
Menariknya, Without You bukanlah lagu baharu buat Miljenko kerana pernah dirakam pada tahun 1996 namun versi asal itu tidak pernah diterbitkan kepada umum.
Namun, selepas hampir tiga dekad, rakaman itu akhirnya direalisasikan menerusi interpretasi baharu yang menampilkan iringan orkestra membabitkan seramai 40 pemuzik.
Menurut Miljenko, karya tersebut merupakan antara persembahan vokal paling menyentuh perasaan pernah dihasilkannya sepanjang lebih 30 tahun bergelar anak seni.
Lebih manis, pelancaran lagu itu juga dibuat pada sambutan ulang tahun ke-30 Steelheart yang melalukan debut menerusi album sulung mereka yang dilancarkan pada 10 Julai 1990.
Album pertama kumpulan itu mencipta kejayaan tersendiri apabila mencatat jualan sebanyak 33,000 unit pada hari pertama pelancarannya di Jepun, menerima pengiktirafan Platinum serta berjaya menembusi carta Billboard 200.
Nama Steelheart pula terus dikenang menerusi lagu balada ikonik She’s Gone yang pernah berada dalam carta antarabangsa selama 17 minggu dan sehingga kini sudah mengumpul lebih 278 juta penstriman di Spotify, selain kekal mendapat sambutan hangat di Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Untuk rekod, Without You merupakan karya ciptaan Pete Ham dan Tom Evans daripada kumpulan Badfinger yang mula diperkenalkan pada tahun 1970 sebelum dipopularkan semula oleh ramai penyanyi terkenal dunia termasuk Harry Nilsson, Air Supply dan Mariah Carey.
Dalam perkembangan lain, Steelheart kini kembali aktif menerusi kempen SteelHeart 30 yang menampilkan pelbagai projek istimewa termasuk album khas mengandungi rakaman semula, versi remix, persembahan orkestra serta pengeluaran edisi terhad 500 keping vinil yang ditandatangani kumpulan tersebut.
Malah, mereka turut mencuri perhatian apabila berkolaborasi bersama vokalis Tesla, Jeff Keith menerusi lagu I Just Wanna Make Love To You.