Sekilas
- Elizabeth Tan kongsi video rawatan IVF yang dirakam sebaik bangun tidur tanpa mekap atau filter, menjelaskan perubahan wajahnya selepas 10 tahun.
- Dia akui terasa terkilan dengan komen netizen yang membandingkan wajahnya sekarang dengan dulu dan menegaskan dia hanya manusia biasa.
- Elizabeth juga berkongsi pengalamannya menjalani rawatan pembekuan telur selepas tiga tahun berusaha mendapatkan cahaya mata dengan sokongan suami.
Penyanyi Elizabeth Tan menyedari ramai netizen mengkritik wajahnya yang kini kelihatan berbeza di perkongsian video mengenai prosesnya melakukan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Menerusi hantaran di Threads, Elizabeth atau mesra disapa sebagai Lizzy berkata video tersebut dirakam sebaik sahaja dia bangun dari tidur dan mengakui wajahnya sudah berubah dan tidak seperti 10 tahun lalu.
“Ini wajah saya tak ada mekap, tak ada filter, pores dan semuanya. Ramai sibuk komen kat video IVF saya cakap muka saya nampak lain dari dulu la, macam ada sugus dalam pipi la, dah tak cantik la dan macam-macam.
“Video itu saya ambil pukul 7 pagi gais, saya baru saja bangun tidur, pacak tripod dan rakam, basuh muka pun tak, bukannya nak cakap muka saya cantik tapi saya hanya manusia biasa seperti orang lain.
“Sudah tentu la wajah saya akan berubah selepas 10 tahun kan,” kongsi Elizabeth.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Knock Knock ini mengakui dia berasa sedikit terkilan membaca komen-komen mengenai wajahnya.
“Maaf emosi sikit baca komen-komen yang macam kecewa rupa saya tak sama 10 tahun lalu dengan sekarang sebab… saya tak boleh buat apa mengenai perkara itu,“ ujarnya lagi.
Terdahulu, Elizabeth Tan berkongsi pengalamannya menjalani rawatan IVF selepas tiga tahun berusaha mendapatkan cahaya mata.
Dia menjalani prosedur pembekuan telur di pusat rawatan kesuburan dengan sokongan suaminya, Siew Jim.
Elizabeth memohon doa daripada orang ramai dan sebelum ini pernah mencuba rawatan IUI sebanyak dua kali tanpa hasil.
Sumber - Threads