Sekilas
- Pelakon Riena Diana meluahkan rasa geram terhadap watak Haris yang dibawakan Keith Foo dalam drama Suamiku Anak Mak melalui hantaran lucu di Threads.
- Penonton turut berkongsi rasa marah terhadap watak Haris yang menghadapi dilema antara kasih sayang kepada ibu dan tanggungjawab sebagai suami.
- Drama ini mendapat perhatian kerana mengangkat isu kekeluargaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat, ditayangkan di Astro Ria dan boleh distrim di sooka.
Pelakon, Riena Diana turut tidak dapat menyembunyikan rasa geram terhadap watak Haris yang dibawakan Keith Foo dalam drama Suamiku Anak Mak .
Menerusi satu hantaran di Threads, Riena secara berseloroh mengakui mahu 'melempang' aktor tersebut.
“Ringan saja tangan nak lempang si Keith Foo ini, biar ada akal sikit. Saya perhatikan saja dia tengah makan depan saya ini,” selorohnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa geram terhadap tindakan Haris, malah ada yang meminta Riena mewakilkan mereka untuk meluahkan rasa marah itu.
“Tolong bagi pelempang banyak sikit. Satu tak cukup.
“Wakilkan pelempang kiri kanan 100 kali, sis. Emosi pula kita ini.
“Wakilkanlah sebab dia sedar tak yang dia tengah dibenci kaum isteri?
"Jangan lupa tarik2 rambut dia sekali. Emo aku cerita nih
"Tolong wakilkan untuk kitorang , malam tadi dah ketap2 gigi dah . Harini punya eps rasanya gigi dah takda," kata netizen.
Menariknya, kekuatan Suamiku Anak Mak bukan hanya terletak pada konflik yang mencetuskan kemarahan penonton, tetapi juga pada isu kekeluargaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
Istilah ‘anak mak’ sering digunakan untuk menggambarkan lelaki yang mempunyai hubungan rapat dengan ibunya. Namun, keadaan menjadi rumit apabila hubungan tersebut mempengaruhi keputusan rumah tangga sehingga menjejaskan perasaan dan kebahagiaan pasangan.
Dalam drama ini, Haris berdepan dilema apabila perlu mengimbangi kasih sayang terhadap ibunya, Mak Leha, dengan tanggungjawabnya terhadap Zaraa.
Bagi penonton, persoalannya bukan sama ada seorang anak lelaki perlu menyayangi ibunya atau tidak, sebaliknya sejauh mana dia mampu menjadi suami yang bertanggungjawab tanpa membiarkan konflik keluarga berlarutan.
Situasi itu turut menjadikan watak Zaraa dekat dengan penonton yang pernah menyaksikan atau berdepan dilema serupa dalam kehidupan sebenar.
Apabila nama watak mula menjadi bahan perbualan dan potongan babak mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, ia menunjukkan bagaimana sesebuah drama boleh melangkaui skrin televisyen dan menjadi topik perbincangan dalam kehidupan seharian.
Walaupun tindakan watak-watak berkenaan mengundang kemarahan, itulah antara persoalan yang membuatkan penonton terus mengikuti perkembangan ceritanya: mampukah Haris akhirnya menetapkan pendirian, dan sampai bilakah Zaraa perlu bersabar?
Dibintangi Emma Maembong, Keith Foo, Dian P. Ramlee dan Izzue Islam, Suamiku Anak Mak kini sedang ditayangkan menerusi slot Megadrama, jam 10 malam, di saluran Astro Ria, dan boleh distrim melalui sooka.
Nampaknya, bukan sahaja Zaraa yang perlu menguji kesabaran berdepan kerenah Mak Leha, penonton di rumah juga turut sama beremosi mengikuti perjalanan kisah mereka!