Muncul dalam drama terbaharu berjudul Saat Aku Tahu, pelakon Ummi Nazeera mengakui bukan mudah untuk dia menjayakan watak sebagai Maira.
Advertisement
Ummi atau Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, berkata, karakter tersebut menuntut kekuatan dari segenap aspek kerana drama itu mempunyai plot yang sarat dengan pelbagai konflik.
“Naskah ini antara naskah yang sukar untuk saya lakukan kerana ia melibatkan emosi, fizikal dan mental. Terutama fizikal, saya rasa sangat penat. Ada sedikit babak yang melibatkan aksi.
“Watak ini susah untuk dibawakan kerana terlalu banyak lapisan maksudnya kadang-kadang watak ini boleh jadi baik atau jahat.
‘‘Maira adalah watak yang tersakiti dan menyakiti, jujur memang penat untuk bermain dengan karakter seperti ini,” katanya kepada Gempak.
Ummi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan tayangan perdana drama tersebut yang berlangsung di KLCC, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, Ummi berkongsi detik luar biasa apabila timbul perasaan takut secara tiba-tiba ketika menjiwai satu babak berat dan menuntut penghayatan mendalam.
“Suatu hari ketika saya bawa karakter ini, tiba-tiba saya rasa sangat takut malah sudah lama tidak merasakan seperti itu.
“Sebab ia adalah sebuah babak yang menakutkan maksudnya sangat berat kerana saya merasakan watak ini keterlaluan.
“Namun graf karakter ini sangat menarik untuk ditonton,” ujarnya.
Sementara itu, ibu kepada dua orang anak ini menjelaskan tiada sebarang sentuhan yang dilakukan bersama gandinganya iaitu Hisyam Hamid sebaliknya hanya menggunakan teknik kamera tertentu untuk memberi kesan realistik.
Sebagai wanita bertudung pula, Ummi menegaskan dia tetap menjaga maruah dan batas, selain berharap penerimaan yang baik daripada penonton.
“Nak bawa watak ini dalam sebuah naskah yang bertemakan curang bukan mudah kerana pastinya akan ada banyak isu sensitif.
“Saya dan Hisyam tak ada sentuhan langsung tetapi banyak kamera trick untuk beberapa babak ‘panas’ dalam drama ini, namun sebagai wanita bertudung saya tetap menjaga batas.
“Sejujurnya saya tidak pernah buat begitu, jadi saya harap peminat dan penonton dapat menerima dengan hati yang terbuka,” katanya.
Untuk info, ‘Saat Aku Tahu’ adalah sebuah drama psikologi romantik tentang kepercayaan, kekecewaan dan dendam dalam hubungan.
Bakal menemui penonton pada 6 November, siri 15 episod tersebut akan ditayangkan di platform Viu pada setiap hari Khamis dan Jumaat.
Selain Ummi dan Hisyam, drama ini juga membariskan pelakon-pelakon hebat lain antaranya, Anna Jobling, Luqman Hafidz, Datuk Eizlan Yusof dan Quinneyra Alyssha.