Sekilas
- Watie Hanifiah kongsi tip penting untuk rapat dengan anak-anak suami duda, termasuk beri lebih perhatian kepada mereka.
- Watie sarankan luangkan 80% masa bersama anak-anak dan libatkan mereka dalam aktiviti keluarga walaupun bersama suami.
- Shuib dan Watie berkahwin pada Jun 2023 dan kini mempunyai seorang cahaya mata perempuan, manakala Shuib ada empat anak hasil perkahwinan terdahulu.
Isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu iaitu Watie Hanifiah berkongsi tip mengenai cara untuk membina hubungan yang baik dengan anak-anak apabila berkahwin dengan lelaki berstatus duda.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Watie berkata dia banyak menerima mesej daripada orang ramai yang ingin mengetahui cara untuk mengambil hati anak-anak pasangan.
Menurut Watie, perhatian perlu lebih banyak diberikan kepada anak-anak bagi memastikan mereka tidak berasa tersisih selepas kehadiran seorang wanita dalam kehidupan bapa mereka.
“Mummy dapat banyak DM (direct massage) orang minta tips macam mana cara nak rapat dan ambil hati bila kawin dengan Duda yang ada anak.
“Tips nombor satu, 20 peratus masa bersama suami 80 peratus masa bersama anak-anak,” kongsinya.
Dalam pada itu, Watie juga turut menekankan kepentingan untuk sentiasa melibatkan anak-anak dalam aktiviti yang dilakukan bersama keluarga.
“Tips nombor dua, dalam 20 peratus bersama suami tu tetaplah selitkan anak-anak sekali.
“Tips nombor tiga, jangan tinggalkan anak dalam setiap program dan percutian, tinggal suami tak apa,” coretnya.
Untuk rekod, Shuib dan Watie sah bergelar suami isteri pada 23 Jun 2023.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini baru sahaja menimang cahaya mata perempuan pada 6 April.
Shuib mendirikan rumah tangga bersama Watie selepas dua tahun pemergian isteri tercinta iaitu penyanyi, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin pada 2021.
Hasil perkahwinan terdahulu bersama Siti Sarah, Shuib dikurniakan empat orang anak iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.