Sekilas
- Puan Sri Tiara Jacquelina memuji Aisha Retno sebagai penggiat seni luar biasa yang bekerja keras dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical.
- Aisha mengucapkan terima kasih kepada Tiara atas kepercayaan memegang watak utama dalam produksi muzikal berskala besar itu.
- Pementasan menampilkan sekitar 50 pelakon termasuk barisan bintang generasi baru seperti Aisha, Mila Mohsin, Aqasha, Mimi Fly, dan lain-lain.
Penerbit dan pengarah Puteri Gunung Ledang The Musical, Puan Sri Tiara Jacquelina, menyifatkan penyanyi dan pelakon, Aisha Retno sebagai seorang penggiat seni yang luar biasa serta bekerja keras dalam menjayakan pementasan teater muzikal tersebut.
Menerusi satu perkongsian di Threads, Tiara meluahkan rasa bangga terhadap usaha yang ditunjukkan Aisha sepanjang menjayakan produksi berskala besar itu.
“I can only guide, the rest of the work is ALL YOU. You work so hard, Aisha... I've witnessed it with my own eyes.
“Kalian sudah kenal belum ya, AISHA RETNO, SI PENYANYI DAN PELAKON LUAR BIASA? Love you back, so so much,” tulisnya.
Terdahulu, Aisha turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tiara atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk membawa watak Puteri Gunung Ledang dalam naskhah muzikal tersebut.
Pementasan berskala besar itu menampilkan kira-kira 50 pelakon di atas pentas termasuk anggota ensembel.
Menariknya, naskhah kali ini menyaksikan gandingan barisan bintang generasi baharu apabila watak Gusti Puteri Retno Dumilah dikongsi bersama oleh Aisha dan Mila Mohsin, manakala Aqasha menggalas watak pahlawan legenda, Hang Tuah.
Pementasan itu turut menampilkan Mimi Fly dan Nadia Aqilah yang bergilir-gilir membawa watak Bayan.
Selain itu, Luqman Hafidz memegang watak Sultan Mahmud Shah, manakala Yusof Hashim pula membawakan watak Gusti Adipati Handaya Ningrat.