Sekilas
- Auddra Zulkifli, anak kepada Sharifah Shahirah, menganggap perhatian yang diterimanya sebagai satu rezeki.
- Walaupun ada netizen yang bosan melihatnya kerap muncul, dia tetap bersyukur kerana semakin dikenali dan menerima banyak tawaran kerja.
- Oddah memilih untuk fokus pada kerjaya dan menghargai setiap peluang dalam industri seni tanpa mengambil hati kritikan.
Anak kepada pelakon dan pengacara terkenal, Sharifah Shahirah iaitu Auddra Zulkifli menganggap perhatian yang diterimanya sejak kebelakangan ini sebagai satu rezeki.
Auddra atau lebih mesra disapa Oddah berkata, walaupun ada segelintir netizen yang meluahkan rasa bosan apabila kerap melihat kemunculannya, namun dia tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang negatif.
Sebaliknya kata Oddah, dia bersyukur kerana semakin dikenali ramai selain menerima banyak tawaran kerja.
“Yang kata bosan asyik nampak saya di mana-mana, pada saya bukan salah saya bila ramai orang yang nak tengok saya.
“Saya tidak bercakap dalam nada riak sebaliknya alhamdulillah, saya anggap itu sebagai rezeki. Syukur saya dapat banyak tawaran,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Oddah juga berkata dia memilih untuk terus memberikan fokus kepada kerjaya selain menghargai setiap peluang yang diberikan kepadanya dalam industri seni.
“Alhamdulillah, ada juga orang yang kenal saya, dulu saya tiada ini semua jadi tahun ini saya anggap rezeki saya.
“Kalau ada yang tak suka saya tak mengapa, saya tak ambil hati, kita juga tak boleh nak puaskan hati semua orang,” ujarnya.