Skip to main content

Fesyen

Yayasan Hasanah Tampilkan Pameran Kesenian Tekstil Malaysia Di CIMB Artober 2025

Yayasan Hasanah Tampilkan Pameran Kesenian Tekstil Malaysia Di CIMB Artober 2025

Sebuah yayasan berasaskan impak di bawah Khazanah Nasional, Yayasan Hasanah mengetengahkan seni kraf warisan Malaysia yang kian pupus dalam pameran CIMB Art & Soul Artober 2025.

Pameran itu bagi membuka mata orang ramai terhadap keindahan dan nilai kesenian warisan yang masih subur dan relevan.

Advertisement

Ini merupakan penyertaan kali ketiga berturut-turut oleh Yayasan Hasanah dalam CIMB Artober sekaligus mencerminkan komitmen teguh yayasan untuk memperjuangkan warisan bukan sekadar sebagai memori, tetapi sebagai sebahagian daripada kehidupan harian.

Pemegang Amanah & Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berharap dengan adanya pameran ini, hasil seni halus karya artisan ini akan terus dikenali masyarakat.

“Dari Kelantan, Sarawak, Terengganu hingga ke Sabah, kita bawakan para artisan Kelingkan, Keringkam, Telepuk dan Kain Dastar sebagai bukti bahawa warisan kita bukan sahaja bernilai tinggi, tetapi juga mampu diketengahkan kepada arus perdana untuk terus hidup dan dikenali oleh rakyat Malaysia.

“Ramai dalam kalangan kita tidak mengenali seni halus ini sebelum kami mula menyokongnya. Hari ini, kami berbangga dapat berkongsi kraf-kraf yang hampir lenyap ini dengan masyarakat umum. 

“Seni dan warisan hidup dalam diri kita, ia bukanlah sekadar catatan dalam dokumentasi,” jelasnya.

Yayasan Hasanah turut memperkukuh ekosistem warisan menerusi inisiatif seperti Hasanah Gold Threads Awards (HGTA) yang meraikan keunggulan tekstil warisan negara, serta program fellowship bagi memperluaskan capaian dan kapasiti artisan ke peringkat antarabangsa.

 

Pelbagai aktiviti menanti di pameran CIMB ARTOBER 2025

Pameran ini berlangsung sejak 26 September hingga 28 September ini di Dewan 1, Gerai D9 di MITEC Kuala Lumpur.

Menariknya, pengunjung berpeluang untuk menyaksikan sendiri demonstrasi secara langsung oleh artisan tempatan, menyertai bengkel interaktif, serta memiliki produk gaya hidup yang diinspirasikan daripada tekstil warisan dan kemasukan adalah percuma.

 

#Keringkam (Sarawak) & Kelingkan (Kelantan)

Keringkam merupakan sulaman benang emas dari Sarawak, terkenal dalam kalangan wanita bangsawan dan dipopularkan oleh Ranee Margaret. 

Kelingkan dari Kelantan pula menggunakan benang perak atau emas yang diratakan dan disulam atas kain halus, kedua-duanya mencerminkan kehalusan dan keanggunan seni sulaman tradisional.

Ahad, 28 Sep - Bengkel: 2:00 PTG & 5:00 PTG

Menampilkan: Puan Ros Salleh (Keringkam) & Nik Marhamah (Kelingkan).

 

#Kain Dastar (Sabah)

Kain tenun halus hasil tangan masyarakat Iranun di Kota Belud, Sabah ini merupakan lambang identiti dan seni tradisi. 

Melalui jenama Cipela, kain Dastar kini ditampilkan semula dalam bentuk kasut dan aksesori fesyen moden, membuka peluang ekonomi dan mengangkat semula warisan ini ke peringkat nasional.

Sabtu, 27 Sep - Bengkel: 3:30 PTG & 5:30 PTG

Sabtu, 27 Sep - 2:15 PTG @ Atrium - Pelancaran Projek Sumandak: Mengangkat warisan Dastar melalui kreativiti wanita Sabah

 

#Sorotan Tambahan di Gerai

Nikmati kehalusan Manik Nyonya warisan Peranakan, keindahan Batik iaitu seni tekstil paling ikonik negara, serta karya-karya pemenang Hasanah Gold Threads Awards (HGTA).

 

Must-Watch Video

Advertisement