Sekilas
- Zaki Yamani melihat peluang berlakon dalam filem Tiket Sehala sebagai langkah serius untuk meneroka dunia lakonan, bukan sekadar mencuba nasib.
- Dia terbuka untuk menerima tawaran lakonan lain asalkan tidak bertembung dengan jadual nyanyiannya.
- Filem Tiket Sehala yang mengisahkan tentang ‘job scam’ sudah mula ditayangkan sejak 6 Ogos dan turut menampilkan pelakon dari Korea Selatan, Thailand, dan Indonesia.
Penyanyi, Zaki Yamani menganggap peluang dapat membintangi filem buat pertama kali adalah sebagai langkah permulaan untuk dirinya meneroka cabang seni lakonan dengan lebih serius.
Menurut Zaki, dia tidak menganggap penglibatannya dalam filem Tiket Sehala sekadar mahu mencuba nasib, sebaliknya sudah mempunyai keinginan untuk serius dalam dunia lakonan.
“Lakonan pertama untuk filem pertama, saya rasa sebagai pendatang baharu dalam industri, saya kena cuba benda baharu.
“Saya rasa tak salah sebab saya pun minat, saya suka berangan dan dah connect untuk menyanyi dan juga berlakon.
“Bagi saya, saya bukan nak cuba tapi nak buat. Bukan cuba lagi dah, saya memang nak,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Zaki berkata dia juga tidak akan menolak sekiranya menerima tawaran lakonan selepas ini, namun perlu memastikan komitmen tersebut tidak bertembung dengan jadual nyanyiannya.
“Ini langkah pertama saya, tetapi jikalau ada tawaran yang akan diberi, saya tidak akan menolak, tidak akan memilih skrip, tetapi saya akan cuba tengok sama ada sesuai dengan jadual nyanyian saya.
“Kalau clash mungkin tidak dapat, tetapi kalau tak bercanggah, saya okay,” ujarnya.
Bercakap mengenai filem, Zaki mengakui dia ada menerima beberapa tawaran sebelum ini namun memilih untuk memberikan fokus terhdap Tiket Sehala terlebih dahulu.
“Alhamdulillah, sebenarnya filem ini dirakam penggambarannya pada tahun lepas.
“Sebelumsebelum itu memang saya sudah dapat beberapa tawaran tetapi saya beri fokus kepada Tiket Sehala walaupun babak saya sedikit,” ulasnya.
Selain Zaki, Tiket Sehala dibintangi oleh Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Hasnul Rahmat dan Saha Champ.
Filem yang menjalani penggambaran di Korea Selatan ketika musim sejuk, turut membariskan pelakon muda luar negara dari Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
Tiket Sehala yang mengisahkan tentang ‘job scam’ ini sudah mula ditayangkan di pawagam sejak 6 Ogos lalu.