Sekilas
- Pelakon Zila Bakarin menegur netizen yang memperlekeh individu berbadan besar terutama ketika menghadiri Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026.
- Beliau menegaskan setiap orang berhak memilih gaya dan pakaian tanpa dinilai berdasarkan saiz badan mereka.
- Zila mengingatkan bahawa menilai seseorang berdasarkan fizikal menunjukkan sikap prejudis dan tidak sesuai untuk acara seperti KLFW Malaysia.
Pelakon Zila Bakarin menyelar tindakan segelintir netizen yang gemar memperlekeh individu berbadan besar, termasuk mempertikaikan penampilan mereka ketika menghadiri Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026.
Zila atau nama sebenarnya, Rosmawati Bakarin, 51, menyifatkan kritikan terhadap bentuk tubuh sebagai keterlaluan kerana setiap individu mempunyai hak untuk memilih gaya dan pakaian yang dirasakan sesuai tanpa perlu dinilai atau dihukum berdasarkan fizikal mereka.
Menurut Zila, soal penampilan seharusnya tidak dijadikan alasan untuk menjatuhkan atau memalukan seseorang, apatah lagi apabila setiap individu mempunyai citarasa dan keyakinan tersendiri dalam berfesyen.
“Maaf cakap! Apa? Orang gemuk dan tembun tak boleh berfesyen ke?
“Dia masam badan dia yang awak pergi bau siapa suruh. Peluh, semua orang berpeluh. Jangan fikir yang slim slim tak kepam, ada je.
“Cuma jangan lah mengata sampai macam tu. Semua orang berhak untuk berfesyen,” tegasnya.

Tambah Zila lagi, tindakan menilai seseorang berdasarkan saiz tubuh hanya memperlihatkan sikap prejudis.
“Yang mata awak tengok yang gemuk kenapa? Ke memang taste tapi acah acah hina. Kan ramai yang slim.
“Dan ini KLFW (Malaysia) bukan Paris atau milan FW. Kau aspek apa? Awak kan laku, asal mulut macam tu. Meluat,” tulisnya.
Terdahulu, Zila memberikan teguran itu selepas seorang netizen meluahkan rasa kurang senang terhadap penampilan pengunjung KLFW 2026 menerusi media sosial.
Individu tersebut mempersoalkan pemilihan tetamu dan juga pakaiab pada acara berkenaan sambil menyamakan suasana KLFW dengan acara permotoran RXZ di Kuala Terengganu.
