Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Allahyarham Dato' Mustapha Maarof Pelakon Terkacak Era 60-an Tapi Suami Paling SETIA Hingga Hujung Hayat.

Afiza Kamarulzaman
23/01/2021 15:05 MYT
Sejak kecil lagi arwah Emak penulis suka bercerita perihal pelakon-pelakon Jalan Ampas era 60-an dulu. Dan waktu itu, penulis akan melopong mendengar setiap cerita-cerita Emak yang entah dari mana sumbernya kerana terfikir juga dulu-dulu mana ada media sosial. Media cetak pun susah hendak dibeli.


Apabila penulis tanya, siapa pelakon lelaki paling kacak zaman itu? Jawab Emak, “Mestilah Mustapha Maarof!” Tanyalah berapa kali pun, jawapan Emak tetap tidak berubah, muktamad! Kata Emak, Mustapha Maarof mempunyai rupa paras yang sangat menawan, kekacakan bertaraf komersial (ini ayat penulislah).


Matanya menggoda, hidungnya mancung terletak, senyumannya mempesona, gerak gayanya juga bikin hati tertawan. Beliau punya karima tersendiri. Tidak perlu terlalu beria-ia, tapi setiap geraknya meninggalkan kesan mendalam. Beliau punya nilai dan aura sebagai selebriti yang eksklusif. Tapi tidak pula mata keranjang atau suka ambil kesempatan terhadap perempuan – itu yang mahal.


Kredit Foto: Google



Kenali Siapa Dato’ Mustapha Maarof?


Allahyarham Dato' Mustapha Maarof lahir pada 1 Januari 1935 di Kuala Lumpur, Selangor. Beliau memulakan kerjaya seninya pada tahun 1951 dan pernah berlakon lebih 50 filem dan beratus-ratus drama televisyen, sama ada di Malaysia mahupun Singapura. Beliau juga lebih aktif bekerja di sebalik tabir sebagai produser drama dan iklan komersial serta video korporat menerusi Warna Motion Pictures.


Sebelum menikahi seniwati Roseyatimah, beliau pernah memperisterikan pelakon jelita, Suraya Harun dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Suzlynna. Namun perkahwinan itu hanya mampu bertahan selama tiga tahun sahaja apabila mereka berpisah pada tahun 1965.


Selepas itu beliau mendirikan rumah tangga bersama pelakon Roseyatimah pada tahun 1967 dan mendapat empat orang anak iaitu Azlynna, Khairudden dan Mohd. Rezainudden. Namun, Khairudden ditakdirkan menghadap Ilahi terlebih dahulu sewaktu berusia tiga tahun akibat demam denggi.


Kejayaa tertinggi beliau dalam industri seni adalah apabila diberikan Anugerah Veteran dalam Festival Filem Malaysia ke-10. Pada 18 Jun 2010, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Joseph Salang Gandum mengumumkan Dato’ Mustapha Maarof sebagai Anugerah Tokoh Perfileman Finas 2010. Beliau menerima cek bernilai RM30,000 ,selempang, pingat dan sijil Tokoh Perfileman Finas.




Kredit Foto: Google


Dato’ Mustapha Maarof meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, pada 15 Disember 2014 jam 8.38 pagi. Sebelum itu, Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 November 2014 kerana mengalami kesukaran bernafas sebelum dipindahkan menjalani rawatan di Wangsa Maju pada 2 Disember 2014.


Jenazah beliau disolatkan di Masjid Amru Ibnu Al-Asr, Bandar Baru Sentul dan kemudian dikebumikan disebelah pusara isterinya, Seniwati Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang.


Sebagai maklumat tambahan, Allahyarham pernah mendapat pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Menariknya lagi, Allahyarham adalah anak kepada peguam Melayu, Maarof Zakaria yang mengasaskan Bank Kebangsaan Melayu pada tahun 1947 dan nama Jalan Maarof di Bangsar dinamakan sempena bapa Allahyarham.




Kredit Foto: Google


Kisah Kesetiaannya Kepada Isteri Tercinta


Walaupun Allahyarhamah bukanlah cinta pertamanya, tetapi yang pasti Seniwati itu adalah cinta terakhirnya yang kekal hingga ke syurga. Mereka pertama kali digandingkan dalam filem Seri Mersing pada tahun 1961. Selepas bercerai, Allahyarham membuat keputusan untuk menyunting Seniwati pada 1967 kerana terlebih dulu sudah mengenal ayah dan ibunya yang juga orang seni yang dihormati waku itu.


Mereka dilihat sebagai pasangan dua sejoli, sama cantik sama padan, serasi, romantik berdua dan sangat kasih-mengasihi. Cerita cinta mereka bukan hanya dipaparkan menerusi media tetapi dibuktikan dengan banyak kenangan dan perilaku yang dipamerkan arwah membuatkan ramai kagum dengan keteguhan cinta mereka, terutamanya selepas Roseyatimah pergi.


Selepas 20 tahun mengulit bahagia berumahtangga bersama anak-anak, Allayarhamah meninggal dunia pada 14 Disember 1987 di rumahnya di Subang Jaya, Selangor akibat penyakit barah payudara ketika berusia 44 tahun.



Kredit Foto: Google


Selepas 10 hari menjalani radioterapi di hospital, Seniwati Roseyatimah meminta sangat-sangat supaya beliau dibawa pulang ke rumah. Beliau dibawa pulang bersama seorang jururawat dan tangki oksigen. Roseyatimah dibawa kembali dari hospital tiga hari sebelum beliau meninggal dunia, selang tujuh bulan selepas bapanya meninggal.


Sejak itu, tinggallah Dato’ Mustapha Maarof sendirian membesarkan anak-anak tanpa isteri di sisi. Walaupun pada waktu itu, beliau masih muda dan kuat, namun tidak sekali beliau terfikir untuk berkahwin lagi. Malah, menurut teman-teman rapatnya beliau sentiasa mengelak jika ditimbulkan soalan bila mahu berkahwin lagi?


Walaupun ada yang cuba mahu ‘mengkenenkan’ beliau dengan mana-mana perempuan, beliau tolak mentah-mentah dengan alasan masih terkenangkan arwah isterinya. Dalam satu temubual Allahyarham sebelum beliau meninggal, katanya, suara manja arwah isterinya masih terngiang-ngiang di telinga walaupun sudah lama pemergiannya.


Bagi beliau, arwah isteri begitu sempurna sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya, malah sangat hebat ketika di dapur. Tidak hairanlah, walaupun sehingga pada hari kematiannya, tetamu dapat lihat di kediamannya di Subang Jaya masih dipenuhi barang-barang perhiasan dan kenangan milik isterinya yang masih dijaga rapi termasuklah berpuluh buku resipi.


Rasa cinta dan kerinduan Allayarham Dato’ Mustapha terhadap isterinya dilihat sentiasa membara walau sehingga hujung hayatnya kerana menurut anak bongsu arwah, Mohd Rezainuddin, arwah bapanya sentiasa memberitahu rindukan arwah ibunya sebelum dia dimasukkan ke hospital.


Dan, ketika hayatnya, Allahyarham sentiasa menzahirkan hasratya untuk dipusarakan di sebelah kubur isterinya jika beliau meninggal kelak. Alhhamdulillah, hajat beliau termakbul apabila beliau akhirnya dikuburkan di sebelah pusara Allyarhamah Roseyatimah setelah Allayharham menyahut panggilan Illahi pada usia 79 tahun.


Semoga roh kedua insan hebat ini ditempatkan bersama mereka yang beriman dan berjumpa kembali di taman firdausi. Amin.




Kredit Foto: Berita Harian Onlilne



#Dato' Mustapha Maarof #Roseyatimah #suami setia
;